BERDEPAN tuduhan gagal membayar cukai berjumlah RM1.6 juta, pelawak dan usahawan terkenal, Shuib, 40, mengakui perniagaannya turut terkesan rentetan tohmahan serta kecaman daripada orang ramai.
Jelas individu yang mencipta nama menerusi program Raja Lawak (2009) itu, perkara tersebut bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengembangkan lagi jenama minuman Bubblebee ke luar negara.
"Sudah tentu ada terkesan dengan apa yang berlaku, orang kita ni suka nilai daripada apa yang dia nampak, tapi tak tahu apa yang berlaku sebenarnya.
"Insya-ALLAH kita akan kembangkan perniagaan ke Borneo, Sabah dan Sarawak. Pada pertengahan bulan Januari lepas, kita dah buka francais pertama kita di Miri, itu perkembangan yang baik untuk Bubblebee.
"Saya tengah rancang untuk ke Brunei, Singapura, Makkah dan Madinah sebenarnya, insya-ALLAH. Jadi berbalik kepada tohmahan orang ramai, lebih baik sokong produk kita," katanya kepada Majoriti ketika sebutan semula kes perbicaraannya di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada Rabu.
Shuib ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu.
Dalam pada itu, Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad meminta agar semua pihak berhenti melemparkan kecaman terhadap keluarganya serta perniagaan dijalankan.
Ujarnya, perkara itu sedikit sebanyak menjejaskan periuk nasi beberapa staf yang bernaung di bawah syarikatnya itu jika Bubblebee berterusan dibenci.
"Ini masanya anda kena sokong, hentikan tohmahan yang tak berasas yang bukan mendatangkan kebaikan kepada saya dan Bubblebee.
"Dulu kita pernah ada sehingga 700 staf tapi sekarang dalam 100 sahaja, maksudnya ada dalam ratusan staf cari makan di bawah syarikat ini, jadi kalau masih lagi difitnah macam mana pula dengan nasib mereka," tambahnya.
Terdahulu, kes perbicaraan itu bersambung ke 13 Januari depan dengan mahkamah memerintahkan serahan dokumen semula kepada pihak pendakwaan.
Peguamnya, Muhammad Firdaus Shaik Alauddin turut menyatakan pihaknya akan terus mengemukakan bukti lanjut berhubung dakwaan berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram