TIDAK ramai yang mengetahui realiti sebenar sebagai seorang pemuzik yang pada dasarnya dilihat cukup popular dan masyur di pentas persembahan.
Lebih dikenali dengan nama pentas dan bait lirik lagu di corong radio, pandangan masyarakat terhadap pengkarya muzik kebiasaannya seiring dengan populariti mereka di persada negara.
Namun, lain pula ceritanya buat kugiran Uncure ini yang memaparkan sisi tersembunyi setiap anggota kumpulannya yang jelas memiliki haluan hidup sama seperti masyarakat umum.
BACA LAGI: Bukan lagi bawah naungan Luncai Emas, Margasatwa serlah budaya Terengganu menerusi 'Dalam Kotok'
Menerusi perkongsian di Facebook, Uncure yang sedang menjalani latihan di sebuah studio muzik kelihatan cukup bertenaga menyampaikan lagu dari salah satu albumnya, Hak Yang Dinafikan.
Namun, hantaran itu mencuri perhatian ramai apabila kumpulan yang berimejkan skinhead dan metal itu pulang bersama seisi keluarga sambil mendukung anak.
Situasi itu jarang dipaparkan dalam mana-mana kumpulan muzik skinhead yang pada dasarnya dilihat cukup ganas di pentas persembahan.
Warga maya rata-ratanya memuji keperibadian dan sifat kekeluargaan dimiliki kugiran berkenaan yang disifatkan cukup harmoni walaupun berimej ganas.
"Muzik sisi lain, kehidupan sisi lain, begitulah kalau kita faham dengan hakikat hidup," kata Shahkhair Khair.
"Walaupun nampak macam geng heavy metal ni macam kasar dan keras, ternyata hakikat sebaliknya mereka keluarga yang nampak bahagia dengan cara mereka," Umat Muhammad.
"Ganas pada lagu je, terbaik Uncure siap dukung anak lagi lepas habis nyanyi," Benseven.
"Bila laki bini minat main muzik, dua-dua sekepala walaupun main muzik skinhead tapi tugas dengan anak-anak tak diabaikan," tambah Hamidin.
Untuk rekod, Uncure telah ditubuhkan pada 1996 dan popular dalam arena muzik underground tempatan.
Sepanjang 28 tahun ditubuhkan, kumpulan ini telah beberapa kali menukar anggotanya dan kini menerusi vokalis terbaharunya Taiyuddin Bakar, Uncure memasang impian untuk kembali mewarnai industri seni muzik tanah air. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram