‘Bubblebee bukan bawah saya masa tu’, tuduhan Shuib gagal bayar cukai RM1.6 juta bersambung 13 Januari


  • Hiburan
  • Rabu, 18 Dis 2024

Shuib ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu.

"KES hari ini berlaku bukan bawah urusan saya 100 peratus”. Demikian kenyataan pelawak terkenal, Shuib, 40, susulan enam pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta, tahun lalu.

Tegas menafikan hal itu, salah laku tersebut dikatakan berlaku ketika awal penubuhan Bubblebee Sdn Bhd (Bubblebee) yang mana dia masih belum mengambil alih sepenuhnya syarikat berkenaan.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, menjelaskan syarikat itu diambil alih selepas tiga tahun ia mula beroperasi pada 2019.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Tiada niat nak rendahkan sesiapa', Lando Zawawi akui 'ketinggian' Amir Raja Lawak punca salah faham di set penggambaran

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ganas pada lagu je', Uncure bongkar sisi sebenar muzik skinhead, balik 'show' siap dukung anak

“Bubblebee usianya lima tahun, saya betul-betul terlibat dalam pengurusan penuh syarikat adalah dua tahun kebelakangan ini.

“Jadi tiga tahun awal tu saya memang tak berapa terlibat sebab saya pegang bahagian pemasaran sahaja ketika itu, jadi mungkin kes yang berlaku hari ini terjadi awal tiga tahun yang dahulu.

“Jadi ia bukan di bawah pengurusan saya yang 100 peratus,” katanya kepada Majoriti ketika sebutan semula kes perbicaraannya di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada Rabu.

Dalam pada itu, kes berkenaan bersambung ke 13 Januari depan dengan mahkamah memerintahkan serahan dokumen semula kepada pihak pendakwaan.

Peguamnya, Muhammad Firdaus Shaik Alauddin menyatakan pihaknya akan terus mengemukakan bukti lanjut berhubung dakwaan berkenaan.

“Kes bersambung ke 13 Januari depan, ada beberapa dokumen perlu diserahkan dan kita tunggu tuntutan mahkamah seterusnya nanti,” katanya ringkas.

Terdahulu, Shuib dan Pengarah bersama Koh Choon Guan, 33, berdepan enam pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta, tahun lalu.

Mewakili Bubblebee selaku Orang Kena Saman (OKS), kedua-duanya mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan berasingan dikemukakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram