PELAKON terkenal, Lando Zawawi atau nama sebenarnya Azlan Sani Zawawi baru-baru ini menjelaskan isu kontroversi salah faham yang melibatkan dirinya dan pelakon, Amir Raja Lawak.
Menurutnya, perselisihan faham itu bukanlah satu isu baru malah sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.
Lando Zawawi menceritakan kembali insiden yang berlaku itu sebenarnya bermula semasa penggambaran drama 'Sopi Sekuriti' untuk tayangan sebuah stesen televisyen swasta.
BACA LAGI: Bukan lagi bawah naungan Luncai Emas, Margasatwa serlah budaya Terengganu menerusi 'Dalam Kotok'
Dia mendakwa bahawa Amir Raja Lawak datang ke lokasi penggambaran dengan melontarkan salam, namun disebabkan isu 'ketinggian' pelakon tersebut menyebabkan satu kekeliruan dalam interaksi mereka.
"Saya ingat dia datang dan saya dengar dia bagi salam tapi disebabkan kerana ketinggian dia yang agak rendah dia berada di bawah paras kaca pintu.
"Jadi, saya tak nampak dia cuma dengar suara dan saya pun cakap 'masuk', takkan lah saya nak tunduk untuk tengok siapa yang bagi salam," ujar Lando Zawawi dalam nada yang agak marah menerusi podcast Isiminyakluu.
Menurutnya, hubungan mereka menjadi tegang apabila Amir berasa terhina dengan situasi itu namun, dia menegaskan bahawa kejadian itu tidak bermaksud untuk merendahkan sesiapa.
Ia menurutnya tercetus kerana secara kebetulan, keadaan fizikal Amir yang agak rendah bagi seorang lelaki menyebabkan salah faham antara mereka.
"Ini bukan masalah menghina, saya tak berniat nak pandang rendah pada siapa-siapa tetapi dalam filem, kita kena fikirkan tentang proporsi dan kesesuaian karakter.
"Kalau hero tu tinggi senanglah untuk cari pasangan tapi kalau hero tu pendek macam mana nak cari heroine yang lebih pendek daripada dia?
"Kalau hero tu pendek, susah juga untuk mencari pasangan yang lebih pendek dari dia. Kamera dan eye-line akan jadi masalah dan terpaksa jaga semuanya supaya hasil kerja kita tak nampak pelik," jelasnya.
Walaupun Lando Zawawi mengakui bahawa hubungan mereka bermula dengan ketegangan, dia menegaskan bahawa itu bukan satu isu yang perlu diperbesarkan.
"Masalah ini biasa dalam industri dan saya tak ada niat untuk menghina sesiapa serta saya rasa dia pun faham," tambahnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram