PERNAH bekerja sebagai cef di Putra World Trade Centre (PWTC), kini Sharizan Mohd Rafi, seorang usahawan Malaysia berjaya membuka dua restoran di Shanghai, China di samping dapat mempromosikan makanan tradisional Malaysia.
Difahamkan dia tinggal di Shanghai selama hampir 16 tahun dan dalam tempoh itu dia berjaya membina kejayaan dalam industri makanan walaupun bermula tanpa sebarang kelayakan akademik cemerlang.
Menerusi video yang dimuat naik di laman TikTok itu membicarakan mengenai impian dan cabarannya tentang bagaimana dia bekerja keras untuk membawa cita rasa Malaysia ke Shanghai.
BACA LAGI: Sanctuary Akekchep Kelah buka bisnes Orang Asli menerusi destinasi pelancongan baharu
"Saya pernah bekerja di PWTC memasak untuk BVIP di Parlimen dan Istana tetapi impian saya adalah untuk memperkenalkan makanan Malaysia di Shanghai.
"Sebagai seorang cef, saya rasa bertanggungjawab untuk mempromosikan budaya Malaysia, dan saya bekerjasama dengan Tourism Malaysia serta Matrade untuk mencapai matlamat ini," ulasnya.
Namun, perjalanan halangan hidupnya tidak terhenti di situ apabila muncul cabaran terbesar datang semasa pandemik Covid-19 ketika dia terpaksa menutup restoran selama tiga bulan.
Jelasnya, untuk sampai ke tahap sebegini, kerajaan China turut membantunya memberikan bantuan yang sangat berguna termasuk pengurangan sewa selama enam bulan dan kupon elektronik untuk pelanggan.
"Walaupun sukar, saya bersyukur kerana ada sokongan daripada kerajaan dan komuniti," katanya.
Sharizan juga memberi beberapa nasihat berguna kepada anak muda Malaysia yang ingin memulakan perniagaan baik di Malaysia atau di luar negara.
"Pilih lokasi yang baik, pastikan produk yang dijual berkualiti dan yang paling penting pastikan makanan itu sedap dan bahan-bahannya segar itulah yang utama," tambahnya.
Selain itu, Sharizan juga sering kembali ke Malaysia terutama untuk melawat ibunya dan dia bercadang untuk terus memperkenalkan makanan Malaysia ke peringkat antarabangsa.
"Saya balik ke Malaysia setiap tiga bulan sekali terutama selepas isteri saya meninggal dunia akibat kemalangan, saya perlu menjaga keluarga," jelasnya.
Bagi mereka yang berkunjung ke Shanghai, restoran Sharizan boleh dikunjungi di Secret Flavor dan Secret Flavor Nasi Lemak untuk menikmati hidangan Malaysia yang autentik.
Di Secret Flavor, hidangan menggoda selera asli Malaysia seperti laksa dan kari kepala ikan disajikan bagi memperkenalkan kepada masyarakat tempatan.
Difahamkan dia mengusahakan restoran nasi lemak itu dengan bantuan adik lelakinya yang membantu menyediakan bahan-bahan harian di dapur bagi memastikan setiap hidangan dihidangkan mengekalkan kualiti bagus.
Menurut Sharizan, terdapat banyak pembekal makanan halal di China, jadi rakyat Malaysia tidak perlu risau tentang status halal makanan apabila mereka berkunjung.
"Penduduk di Shanghai kini sangat menggemari nasi lemak selepas mengajar mereka cara menikmati hidangan ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram