[VIDEO] Ramai sangka perlu ada perawat jika nak ruqyah, padahal boleh buat sendiri ikut sunnah Rasulullah SAW


  • Mukmin
  • Jumaat, 13 Dis 2024

Apabila seseorang itu merasa sakit badan atau mengalami gangguan fizikal adalah boleh mengamalkan meruqyah diri sendiri mengikut sunah Islam.

SAKIT adalah ujian biasa yang diberi oleh ALLAH kepada hambanya dalam kehidupan dan kita sering mencari cara untuk mengubatinya.

Tidak kira sama ada sakit fizikal mahupun gangguan yang tidak dapat dilihat, kita sering mencari cara untuk merawat dan melegakan kesakitan tersebut.

Salah satu kaedah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW untuk mengatasi sakit adalah melalui ruqyah diri sendiri.

BACA LAGI: [VIDEO] Jangan salah pilih, 3 golongan wanita tak boleh dipinang dijadikan isteri menurut hukum Islam

BACA LAGI: [VIDEO] Ramai masih keliru hukum sebenar pegang al-Quran tanpa wuduk walaupun berlapik

Mesti ramai yang masih belum tahu, kaedah ruqyah tidak semestinya menggunakan khidmat perawat Islam namun ia sebenarnya boleh dirawat dan dibuat dengan sendiri ketika sakit.

Berdasarkan perkongsian oleh Ustaz Firdaus Al Haramain, pendakwah media sosial berkongsi ilmu cara meruqyah diri sendiri bagi mengatasi sakit mengikut sunnah Rasulullah SAW.

Menurutnya, apabila seseorang itu merasa sakit badan atau mengalami gangguan fizikal adalah boleh mengamalkan meruqyah diri sendiri mengikut sunah Islam.

Jelasnya, Rasulullah SAW mengajarkannya kepada umat Islam mengenai perkara tersebut yang dapat dirujuk dalam sebuah hadis Sahih Muslim, hadis no. 2202.

Ustaz Firdaus berkata, hadis itu menceritakan kisah seorang sahabat Rasulullah SAW, iaitu Usman bin Abi Al-As Al-Thaqafi mengadu sakit kepada baginda lalu berkata, "Ya Rasulullah, badan saya sakit sejak saya memeluk Islam."

Jelasnya, ketika Rasulullah SAW mendengar keluhan tersebut, baginda mengajarkan cara untuk meruqyah diri sendiri.

Mengulas lanjut, Ustaz Firdaus berkata, baginda bersabda kepada Usman: "Ambil tanganmu dan letakkan di tempat yang sakit.

Menurutnya, sebagai contoh, jika merasa sakit di ulu hati lalu letakkan tangan di bahagian tersebut.

"Kemudian, bacalah 'Bismillah' sebanyak tiga kali diikuti dengan bacaan أَعُوذُ بِعِزَّةِ اللهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ 9 (A'uudzu bi 'izzatillahi wa qudratihi min syarri maa ajidu wa uhaadzir') iaitu sebanyak tujuh kali," katanya.

Ustaz Firdaus menambah, selepas melakukan langkah tersebut, ruqyah perlu diteruskan dengan membaca doa yang diajarkan Nabi SAW sebanyak tujuh kali sambil meletakkan tangan di tempat yang sakit.

"Sebagai contoh, jika sakit berada di ulu hati, pegang tempat tersebut dan bacalah doa yang dimaksudkan sebanyak tujuh kali.

"Inilah cara yang diajarkan oleh Nabi SAW untuk kita meruqyah diri sendiri.

"Dengan mengikuti panduan ini, kita dapat merawat diri secara rohani dan fizikal seperti yang diajarkan dalam sunnah.

"Semoga amalan ini memberi manfaat dan kesihatan yang berpanjangan kepada kita semua," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram