As’ad ibn Zurarah penghuni pertama Jannatul Baqi, antara insan bertuah dikebumi bersama makam para sahabat Nabi Muhammad


  • Mukmin
  • Isnin, 16 Dis 2024

Jannatul Baqi adalah kawasan perkuburan terbesar terletak di kota Madinah dan bersebelahan Masjid Nabawi.

SEBUT sahaja Jannatul Baqi, sudah pasti siapa yang pernah menjejakkan kaki ke kota Madinah tahu dan pernah melawat tempat bersejarah itu.

Jannatul Baqi iaitu tanah perkuburan yang terletak di Madinah menyimpan pelbagai kisah dan sejarah penting dalam Islam.

Difahamkan di situlah terletaknya makam-makam para sahabat, keluarga Nabi Muhammad SAW dan individu-individu yang sangat berperanan dalam mempengaruhi perkembangan agama Islam.

BACA LAGI: [VIDEO] Ramai sangka perlu ada perawat jika nak ruqyah, padahal boleh buat sendiri ikut sunnah Rasulullah SAW

BACA LAGI: [VIDEO] Jangan salah pilih, 3 golongan wanita tak boleh dipinang dijadikan isteri menurut hukum Islam

jannatul-baqi-map-scaled-e1698524238644-1024x496

Antara makam-makam sahabat Nabi di Jannatul Baqi.

Berbicara mengenai tanah perkuburan itu, salah satu aspek menarik mengenai Jannatul Baqi adalah perbahasan mengenai individu yang menjadi orang pertama dikebumikan di tanah yang penuh keberkatan itu.

Menurut sumber penulisan Hajj Umrah Planner, apabila Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah terdapat beberapa tanah perkuburan yang sudah digunakan oleh penduduk setempat.

Ulasan itu menjelaskan Nabi Muhammad SAW bertanya mengenai tanah perkuburan tersebut tetapi diperintahkan oleh ALLAH untuk menguburkan Muslim pertama di 'tanah lapang yang terdapat pokok-pokok'.

Penulisan itu menjelaskan bahawa menurut sejarawan Ali al-Samhudi (w. 911/1533), sahabat pertama yang dikebumikan di Jannatul Baqi ialah As’ad ibn Zurarah daripada suku Khazraj Madinah.

Katanya, As'ad adalah salah seorang daripada golongan Ansar (pembantu) dan meninggal dunia sembilan bulan selepas ketibaan Nabi Muhammad SAW di Madinah.

Sahabat pertama daripada golongan Muhajirin (pendatang) yang dikebumikan di Jannatul Baqi adalah Uthman ibn Maz’un pada tahun 2 Hijrah.

fatima-zahra

Lokasi makam puteri Nabi Muhammad SAW, Fatima Zahra di Jannatul Baqi.

Penulisan itu menerangkan Nabi Muhammad SAW melaksanakan solat jenazah dan turut serta dalam pengebumian Uthman.

Kemudiannya, Nabi Muhammad SAW meletakkan sebuah batu di kepala kubur Uthman dan berkata, "Ini adalah kubur pendahulu kami.

Dijelaskan, Nabi Muhammad SAW sering menziarahi kubur Uthman ibn Maz’un.

Setelah kematian seorang lagi pendatang, Nabi Muhammad SAW ditanya mengenai tempat pengebumian beliau, dan Nabi menjawab, "Dikebumikan bersama pendahulu kami iaitu Uthman ibn Maz’un."

Sekian lama kemudiannya, dua lagi tanah perkuburan yang digunakan di Madinah iaitu Bani Salim dan Bani Haram semakin kurang digunakan.

Difahamkan ketika memasuki pintu perkuburan, terdapat kawasan berbentuk separuh bulatan yang dikelilingi oleh dinding batu penahan yang lama.

jannatul-baqi-large

Gambaran Jannatul Baqi pada awal tahun 1900.

Penulisan itu menyatakan bahawa di situlah dikebumikan anggota keluarga Nabi Muhammad SAW yang terkenal antaranya:

- Al-Hasan ibn Ali ibn Abi Talib, cucu Nabi Muhammad SAW

- Ali ibn Husain Zayn al-Abidin, anak kepada Hussain dan cicit kepada Nabi Muhammad SAW

- Muhammad al-Baqir, anak kepada Zayn al-‘Abidin

- Ja’far al-Sadiq, anak kepada Muhammad al-Baqir

- Al-Abbas ibn Abdul Muttalib, bapa saudara kepada Nabi Muhammad SAW

- Fatimah, puteri Nabi Muhammad SAW

Menurut Hajj Umrah Planner, sebelum tahun 1925, sebuah makam besar berbumbung kubah melindungi kawasan yang mengandungi kubur-kubur itu.

Sebuah kubur atau darih dalam bahasa Arab (ضريح) didirikan di atas setiap kubur kecuali kubur milik Sayyidah Fatimah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram