KERJA-KERJA pembaikan dan naik taraf kemudahan awam di Jalan Lang Kelabu, Kepong, Kuala Lumpur dijangka bermula tahun hadapan.
Antara kerja yang akan dilaksanakan termasuk penurapan semula jalan, pembaikan dan pembersihan longkang serta menaik taraf taman permainan.
Projek-projek ini bakal dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan laporan StarMetro pada 9 Disember yang mengetengahkan aduan penduduk mengenai jalan berlubang, longkang rosak dan taman permainan yang tidak diselenggara dengan baik.
BACA LAGI: [VIDEO] Sudah bermaafan, penjual teh ais rayu Presiden Prabowo tolak peletakan jawatan Gus Miftah
Laporan StarMetro pada 9 Disember.
Penduduk turut menyuarakan kebimbangan tentang kehadiran nyamuk akibat air bertakung di samping menggesa tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa tempatan.
Menurut DBKL, kerja-kerja penurapan semula jalan dijangka berlangsung dari 6 Januari hingga 2 Februari 2025.
“Kawasan ini merupakan antara lokasi yang dikenal pasti sebagai sebahagian daripada program penurapan jalan secara menyeluruh kami untuk tahun 2025,” jelas DBKL dalam satu kenyataan kepada StarMetro.
Bagi isu longkang rosak di kawasan berkenaan, DBKL memaklumkan hasil pemeriksaan mendapati saliran air tersekat merupakan punca utama masalah itu.
“Kerja-kerja pembersihan akan dimulakan dan kontraktor akan melaksanakan kerja-kerja naik taraf kemudahan ini antara 20 Januari hingga 16 Mac,” menurut kenyataan itu.
DBKL turut memberi maklum balas terhadap aduan penduduk mengenai masalah air bertakung dan kemudahan di taman permainan.
"Meskipun peralatan permainan didapati berada dalam keadaan baik, rumput di kawasan tersebut perlu dipotong.
“Kerja-kerja penambahbaikan kawasan taman permainan dijangka bermula pada awal tahun 2025,” jelas DBKL.
Selain itu, DBKL mengakui keperluan untuk membina laluan pejalan kaki di kawasan tersebut dan memaklumkan akan menyediakan pelan pembinaannya.
Terdahulu, DBKL memaklumkan bahawa pihaknya akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan di kawasan berhampiran, susulan laporan StarMetro pada 9 Julai.
Ini termasuk pembinaan longkang di Suria Homes bagi menyelesaikan masalah air bertakung serta penyelenggaraan fasiliti taman permainan di Taman Sri Segambut.
Kerja-kerja tersebut dimaklumkan telah siap pada bulan Ogos. — The Star/FARID WAHAB
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram