
PENDUDUK di Jalan Pendamar, Kampung Baru Cina Pandamaran, Klang, Selangor meluahkan rasa kecewa ekoran isu banjir yang kerap berulang di kawasan tersebut.
Sebahagian penduduk di situ menjelaskan, kediaman mereka ditenggelami air setiap kali hujan lebat melanda sekali gus mengakibatkan kerosakan barangan rumah.
"Kalau hujan berterusan selama lebih setengah jam, longkang di hadapan rumah saya melimpah dan tenggelam sampai di anjung rumah.
"Bila hujan turun dalam tempoh yang lama, air akan mencecah paras buku lali dan membanjiri seluruh rumah, dari ruang tamu hingga ke kawasan dapur," kata penduduk Tam Fook Weng, 62.
BACA LAGI: [VIDEO] Desakan ibu agar turun berat badan bantu Nurzarina jadi atlet MTB negara
Tambahnya, masalah itu sudah berlaku sejak sedekad lalu dan kebanyakan penduduk warga emas sukar untuk membersihkan rumah akibat air hitam yang merosakkan lantai rumah.
"Puncanya disebabkan reka bentuk longkang yang tidak baik dan kerja-kerja pembersihan yang tidak baik.
"Longkang itu dipenuhi dengan keladak dan pasir, jadi ia cepat tersumbat apabila hujan.
"Pihak berkuasa tempatan perlu melebarkan dan menaikkan ketinggian longkang," kata Sim Yoke, 58.
Dalam pada itu, Radha Batumalai, 54, menjelaskan reka bentuk longkang itu sudah lapuk dan ia merupakan punca utama limpahan air di kawasan tersebut.
"Ia adalah mimpi ngeri jika hujan turun pada waktu malam atau pagi.
"Kami tak boleh tidur kerana bimbang tentang banjir dan perlu bersiap sedia untuk membersihkan rumah keesokan harinya.
“Saya harap longkang itu akan dibersihkan dengan baik.
“Kotoran dan sampah mesti dibuang dan tidak dibiarkan di tepi longkang kerana ia akan sumbat semula bila hujan,” katanya.
Sementara itu, seorang jurujual, TF Yuen, 56, berkata, penduduk telah berkali-kali membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sejak lebih 10 tahun tetapi masih tiada penambahbaikan dibuat.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Alam Sekitar MBDK, Zaireezal Ahmad Zainuddin berkata, pihaknya akan melakukan kerja-kerja pembersihan menyeluruh terhadap longkang berkenaan.
Berhubung reka bentuk longkang tersebut, Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat MBDK, Norfiza Mahfiz berkata, perkara itu akan dirujuk kepada Jabatan Kejuruteraan kelak. — The Star/ EDWARD RAJENDRA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram