SIAR: Sebelum bergelar pelakon, Salih Yaacob lebih dulu dikenali sebagai penari OTD, lebar sayap jadi DJ Sinar Pagi


  • Hiburan
  • Khamis, 05 Dis 2024

Salih Yaacob merupakan bekas penyanyi dan penari Orkestra Tentera Darat sebelum bergiat aktif dalam industri hiburan tanah air.

SEBUT sahaja ‘Abang Jem’ ataupun ‘SY’, masyarakat pastinya terhibur mengimbau kembali kenangan manis era kegemilangan Salih Yaacob yang dahulunya cukup popular dengan gelaran itu ketika berkhidmat sebagai penyampai radio.

Gelak tawa dan senda guraunya sentiasa menghiburkan pendengar yang bagaikan terpukau dengan gaya penyampaiannya yang cukup bersahaja serta mesra bersama peminat walau di luar set penggambaran.

Juga merupakan pelakon tersohor tanah air, Salih atau nama lengkapnya, Mohammad Salih Yaacob, 63, merupakan antara individu berpengaruh di bidang muzik apabila terlebih dahulu menceburi karier itu pada 1980.

BACA LAGI: Peserta hampir menang RM1 juta, Roda Impian antara rancangan TV 'game show' popular era 90an

BACA LAGI: Asalnya lagu PLKN, sentuhan Afdlin Shauki menerusi Erti Hidup julang Dayang Nurfaizah di pentas AJL

Kerjayanya bermula selepas diterima sebagai penyanyi dan penari pada uji bakat Pentarama Jabatan Penerangan Malaysia pada 1981.

Selepas bertugas hampir tiga tahun di Pentarama, Salih kemudiannya meneruskan kariernya bersama pasukan Orkestra Tentera Darat (OTD).

@siardotmy #SIAR ♬ original sound - SIAR

Komited dan disiplin dalam menjalankan tugas sebagai penghibur membuatkan kehadirannya disenangi ramai dan seterusnya ditawarkan penerbit OTD, Baharuddin Kadir untuk muncul dalam program Mekar Sejambak (1985) terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Bermula detik itu, populariti anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu kian memuncak dan mula diminati ramai ekoran bakatnya yang mampu menyanyi dan menari pada masa sama.

Bagaikan ‘rezeki terpijak’, Salih kemudiannya menceburi dunia lakonan menerusi filem pertamanya berjudul Jejaka Perasan (1986) arahan A.R Badul.

Karakternya yang cukup mesra dan mudah didekati peminat membuatkan Salih cukup digilai ramai khususnya golongan wanita yang bagaikan fenomena apabila bertemu dengannya satu ketika dahulu.

Memasuki tahun 2006, legasi Salih terus masyhur apabila menjadi penyampai radio di slot Sinar Pagi bersama gandingan trio Raja Azura dan Khairil Rashid.

41559659992_AdiSallehSinarFM

Salih Yaacob pernah berkhidmat selama lebih 13 tahun sebagai penyampai radio.

Meskipun sekadar bekerja di belakang tabir, namun telatah dan hiburan lawak Salih sentiasa menemani pendengar di pagi hari yang sememangnya ternanti-nantikan suaranya yang sinonim dengan gelaran ‘Abang Jem’ ketika itu.

Selepas 13 tahun berkhidmat di dunia penyiaran radio, Salih mengumumkan pengundurannya pada 2019 atas faktor tertentu yang difahamkan mahu mencuba pengalaman baharu dalam bidang lain.

Biarpun kehadiran bakat-bakat baharu dan generasi BBNU semakin mendominasi industri tempatan, namun Salih selayaknya digelar legenda penghibur tanah air yang banyak berjasa kepada hiburan tanah air sejak era 80an. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram