KARYA filem tempatan tidak pernah sunyi daripada naskhah agung yang kekal menjadi tontonan masyarakat hingga ke hari ini.
Filem aksi mahupun komedi, masing-masing mempunyai peminat tersendiri yang sentiasa menyuarakan sokongan terhadap karya tempatan.
Namun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa industri perfileman negara pernah digemparkan dengan penghasilan sebuah naskhah seram karya Balakrishna Narayana Rao atau lebih dikenali sebagai BN Rao pada 27 April 1957.
BACA LAGI: Dulunya wartawan, Zulkifli Ismail kini aktif kongsi loghat Kedah di TikTok
BACA LAGI: [VIDEO] Pernah berkongsi pentas lawak, Ebby Yus terima kunjungan bekas ratu cantik Jepun
Merupakan filem yang dihasilkan pada tahun kemerdekaan negara, filem Pontianak mencatat sejarah sebagai karya seram tempatan pertama diterbitkan syarikat Melayu Singapura, Cathay-Keris Films.
Dibintangi Datuk Sri Maria Menado selaku watak pontianak, lakonan mantap senimawati negara itu mencipta identiti baharu dalam dunia perfileman tanah air yang ketika itu lebih terkenal dengan filem berkonsepkan kisah dongeng rakyat dan komedi.
Walaupun memikul tugas berat dalam filem itu, lakonan Maria meraih pujian penonton yang amat mengagumi kebolehannya membawakan tiga karakter berlainan dalam sebuah naskhah.
Sebagai filem pontianak pertama di Tanah Melayu, lakonannya berjaya meninggalkan kesan mendalam apabila sebilangan penonton dikatakan pengsan akibat kejutan melampau di pawagam.
Pun begitu, langkah berani penghasilan filem itu membuahkan hasil apabila Pontianak berjaya meraih kutipan luar biasa sepanjang 13 hari tayangan di Singapura sebanyak AS$20,000 (RM89,460) pada ketika itu.
Ditayangkan di pawagam Cathay, Singapura, ia mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi karya tempatan pertama ditayangkan di situ berbanding Hollywood.
Maria Menado merupakan senimawati negara yang cukup disegani.
Sambutan hangat dari penonton di Singapura, membuatkan tempoh tayangannya dilanjutkan hingga 27 Ogos dengan jumlah keseleuruhan sebanyak 27 hari di pawagam.
Malaysia yang ketika itu masih menggunakan mata wang USD, dikatakan antara filem pecah panggung yang berjaya mencatat sejarah tersendiri dalam dunia perfileman tanah air.
Kejayaannya berterusan apabila dua lagi sekuel filem dihasilkan iaitu Dendam Pontianak (1957) dan Anak Pontianak (1958), sekali gus membentuk landskap baharu dalam industri perfileman tempatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram