TREND penggunaan air fryer kini semakin popular sebagai kaedah memasak yang lebih sihat terutamanya dalam usaha mengawal berat badan.
Pakar Nutrien, Dr Rosaline Yap Kwai berkata, air fryer dianggap sebagai alternatif yang baik kepada orang ramai kerana ia mengurangkan penggunaan minyak dalam masakan.
Menurut Dr Rosaline, Malaysia mempunyai kadar obesiti yang tinggi apabila satu daripada dua orang dewasa di negara ini mempunyai berlebihan berat badan atau obesiti.
BACA LAGI: [VIDEO] Cas telefon masa tidur, lelaki di Tangerang hilang nyawa, muka dan tangan melecur teruk
Dr Rosaline (kiri) ketika membuat demonstrasi penggunaan air fryer ketika Majlis Pelancaran Tefal's Hot Air Fryer Range.
"Salah satu cara untuk mengurangkan berat badan adalah dengan mengehadkan pengambilan lemak dalam diet harian kerana lemak memberikan dua kali ganda kalori berbanding karbohidrat atau protein," katanya kepada Majoriti.
Beliau menjelaskan bahawa memasak menggunakan air fryer dapat mengurangkan penggunaan minyak hingga lebih daripada separuh berbanding kaedah menggoreng biasa.
"Air fryer adalah kaedah memasak yang lebih sihat kerana ia tidak memerlukan minyak.
"Contohnya jika kita menggoreng udang dengan minyak biasa, kandungan lemaknya akan jauh lebih tinggi.
"Dengan penggunaan air fryer, kita dapat memastikan jumlah lemak dalam makanan lebih rendah," katanya.
Dalam pada itu, Dr Rosaline turut menekankan pentingnya keseimbangan antara makanan sihat dan sedap dalam diet harian.
"Masakan di luar sering kali mengandungi minyak yang tidak kita sedari.
"Dengan memasak sendiri menggunakan air fryer, kita lebih yakin terhadap kandungan lemak dalam makanan," tambah beliau.
Ketika ditanya mengenai risiko kekerapan penggunaan air fryer yang kini menjadi trend ramai, Dr Rosaline menyatakan bahawa teknologi moden dapat memastikan alat canggih itu selamat digunakan.
"Saya tidak nampak sebarang kesan buruk terhadap kesihatan akibat penggunaan air fryer.
"Malah, air fryer adalah alat yang mesra pengguna dan boleh menggalakkan gaya hidup sihat," jelasnya.
Sebagai pakar pemakanan, Dr Rosaline menggalakkan orang ramai untuk mencuba kaedah memasak yang lebih sihat.
"Selain air fryer, banyak model kini dilengkapi dengan ciri tambahan seperti memanggang dan mengukus yang memudahkan kita menyediakan makanan rendah kalori dengan cepat.
"Ini sangat penting untuk mencegah penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi dan penyakit jantung," katanya.
Beliau berharap trend penggunaan air fryer tersebut dapat membantu lebih ramai rakyat Malaysia mengamalkan diet sihat dan mengurangkan kadar obesiti negara.
Terdahulu terdapat tinjauan yang dilaporkan bahawa masalah obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia semakin membimbangkan apabila kira-kira 11 juta orang mengalami berat badan berlebihan.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram