Kanak-kanak 2 tahun maut motosikal langgar lori keluar simpang di Lahad Datu


  • 112
  • Jumaat, 15 Nov 2024

Kemalangan melibatkan motosikal dengan lori di Batu 4, Bulatan Jalan Pan Borneo, Lahad Datu. — PDRM

SEORANG kanak-kanak perempuan berumur dua tahun maut selepas terlibat dalam satu insiden motosikal yang dinaiki bersama tiga ahli keluarganya terbabit nahas dengan sebuah lori di Batu 4, Bulatan Jalan Pan Borneo, Lahad Datu, Sabah.

Difahamkan mangsa disahkan maut di lokasi kejadian akibat cedera parah dilanggar lori.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, motosikal yang dibonceng bapa mangsa bergerak dari arah Lahad Datu menuju ke Sandakan.

BACA LAGI: Remaja perempuan 16 tahun hilang selepas tidak pulang dari sekolah di Subang Jaya

BACA LAGI: 'Kualiti' lelaki Malaysia sebagai pelindung dipertikai, punca kes remaja perempuan hilang meningkat — Kamal Affandi

Menurutnya, semasa kejadian, sebuah lori yang dipandu seorang lelaki berusia 59 tahun tiba-tiba keluar dari simpang jalan di sebelah kiri sebaik sahaja mereka memasuki bulatan jalan.

“Akibat jarak terlalu dekat, bapa mangsa gagal mengelak dan terus merempuh tayar hadapan lori berkenaan.

“Susulan kejadian berkenaan, mangsa bersama tiga lagi ahli keluarganya tercampak di atas jalan,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Difahamkan, tiga lagi ahli keluarga mangsa iaitu bapa mangsa berusia 47 tahun bersama abangnya, 3, dan ibu, 29 tahun, mengalami kecederaan.

"Semua mangsa cedera dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan segera.

“Sampel darah pemandu dan penunggang motosikal sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian alkohol serta dadah.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sehubungan itu, Dzulbaharin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Rasul Ramlee di talian 089-881225. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram