PELUANG melanjutkan pelajaran di luar negara kini menjadi impian ramai termasuk pelajar Malaysia.
Dengan pelbagai tawaran biasiswa dan program pertukaran pelajar, menuntut di negara asing bukan sahaja membuka ruang untuk mendapatkan pendidikan berkualiti, malah dapat dapat menambah pengalaman hidup.
Begitu juga dengan dua graduan Malaysia yang tidak melepaskan peluang untuk menimba ilmu di luar negara.
BACA LAGI: Cekal redah jalan bahaya naik basikal, kisah 37 tahun dedikasi posmen satukan komuniti di Raub
BACA LAGI: 'Jangan takut gagal', remaja 16 tahun gigih tulis, sampaikan 101 ucapan berani cabar potensi diri
Anis Najwa yang berpeluang melanjutkan pengajian di luar negara. — Anis Najwa
Melanjutkan pengajian di United Kingdom (UK) sedekad lalu membuka lembaran baharu buat Anis Najwa Nazari, 30, meneroka pengalaman hidup yang serba berbeza.
Tinggal beribu batu jauh daripada keluarga, graduan jurusan perundangan, Cardiff University, UK menzahirkan kesyukuran dek bantuan biasiswa yang diterima.
Sepanjang tiga tahun berkelana sejak 2014, wanita itu menyifatkan beliau menjadi lebih terbuka dan meraikan perbezaan selepas melihat sendiri gaya hidup antara masyarakat luar dan negara sendiri.
Selain perlu berdikari dari segi pencaturan rutin harian, pemilihan tempat tinggal, makan dan pakaian, pengamal undang-undang itu juga teruja didedahkan belajar corak pemikiran masyarakat luar negara.
Namun, dalam keseronokan menimba ilmu dan menikmati kehidupan khususnya dalam suasana musim yang silih berganti, Anis akui cabaran tetap ada dan terpaksa diharungi sehinggalah selesai tahun pengajiannya.
Meskipun banyak peluang menantinya di UK, Anis tetap pulang ke tanah air dengan penuh bersemangat untuk berbakti kepada negara.
Anak kedua daripada enam adik beradik itu berkata, sebagai penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), beliau juga terikat dengan kontrak yang memerlukan dirinya pulang berkhidmat.
Tambahnya, sebelum layak menjadi pengamal perundangan, beliau perlu menyambung Sijil Amalan Guaman (CLP) selama setahun di Kuala Lumpur sebelum menduduki peperiksaan khusus.
Ini berikutan tempoh pembelajaran di UK tidak mencukupi bagi melayakkannya untuk terus berkhidmat di sini.
Oleh itu, beliau perlu menghabiskan masa setahun untuk menduduki peperiksaan CLP.
Penuntut undang-undang berkelulusan luar negara perlu mengambil peperiksaan CLP sebelum layak menjadi pengamal perundangan. — Gambar hiasan/Agensi
CLP kebiasaannya dianggap satu peperiksaan yang menjadi 'mimpi ngeri' bagi kebanyakan penuntut undang-undang terutamanya lulusan dari luar negara.
Ia terkenal dengan peperiksaan yang 'teramat susah' atau dalam bahasa Inggerisnya, notorious.
Pada masa sama, anak kelahiran Banting, Selangor itu juga bekerja sebagai pembantu guaman di sebuah firma di ibu kota untuk dengan pendapatan kira-kira RM1,100 bagi menampung kos perbelanjaan kehidupan ketika itu.
Dengan gaji minimum, dirinya mengakui sedikit terkesan kerana pada pandangan peribadi, graduan pulang dari luar negara sepatutnya meraih gaji setimpal.
Namun, kerana mahu meneruskan hasrat untuk menjadi pengamal undang-undang di negara sendiri, beliau tidak berpaling arah.
Melihatkan rakan sejurusan ketika itu masuk ke bidang kerja dan mendapat gaji lumayan, memang memberikan tekanan.
"Saya tahu apa yang saya inginkan dan bersyukur perjalanan dalam bidang perundangan ini dipermudahkan.
"Selepas tamat CLP pada hujung 2018, saya diterima bekerja sebagai pengamal undang-undang dalam sektor kerajaan," kongsinya.
Jelasnya, pembabitan dalam bidang perundangan swasta mahupun di luar negara sememangnya menjanjikan pendapatan lumayan.
Namun, beliau lebih memilih keselesaan hidup dan mahu berbakti kepada negara menggunakan pengalaman yang dikumpul dari luar negara.
"Saya sedar dengan pengalaman yang ada, saya memiliki keupayaan membantu masyarakat," katanya.
Nilai tambah
Dr Fatin Najwa mempraktikkan ilmu yang diperoleh di luar negara di Malaysia. — Dr Fatin Najwa
Perkara sama juga diutarakan doktor perubatan, Dr Fatin Najwa Daud, 28, yang selesa berkhidmat di negara sendiri.
Katanya, pengalaman membesar dan mendapat pendidikan di luar negara banyak memberi nilai tambah kepada persediaan dirinya sebelum melangkah ke bidang kerja profesional.
Anak keenam daripada tujuh beradik itu adalah pemegang Diploma International Baccalaureate (IB) dalam bidang perubatan di Rabat American School, Maghribi selama enam tahun.
Di negara itu, sistem pendidikan tidak hanya menumpukan kecemerlangan akademik, tetapi turut menggalakkan pelajar untuk menceburi kurikulum sebagai subjek tambahan.
Aktiviti kurikulum seperti subjek seni dan sukan membantu membina keyakinan dirinya lebih bijak menyesuaikan diri selain merangsang pemikiran kreatif.
"Kurikulum penting untuk membantu pelajar lebih berfikiran luar kotak dan tidak hanya tertumpu pada akademik," katanya.
Beliau menyambung Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pembedahan di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Bukit Jalil, Kuala Lumpur selama lima tahun.
Menceburi bidang kedoktoran selepas kehilangan adik bongsu kerana kecacatan kelahiran yang juga dikenali sebagai gangguan kongenital membuatkan dirinya mahu melakukan sesuatu untuk membantu pesakit lain.
Dr Fatin Najwa bagaimanapun selesa berkhidmat di salah sebuah hospital kerajaan dan baginya pengalaman kerja dimiliki tidak kurang hebatnya.
Bagi pengamal kesihatan itu, beliau mahu menjadi sebahagian daripada tenaga profesional dapat memberi balik kepada sektor kesihatan negara.
Dunia perubatan negara jauh berubah dan kian mencapai tahap piawaian antarabangsa.
Kejayaan pakar perubatan di dalam negara dalam perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi dan inovasi perubatan juga tidak kurang hebatnya.
"Bidang perubatan bukan bidang yang mudah untuk dikuasai dan ia memerlukan pengorbanan masa, kos dan tenaga.
"Namun, jika ada minat bidang ini antara bidang mempunyai skop karier meluas," tuturnya.
Melanjutkan pengajian di luar negara mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. — Gambar hiasan/Agensi
Pensyarah Kanan dan juga Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Tengku Elena Tengku Mahamad bagaimanapun berkata, pengalaman berhijrah di luar negara ada baik buruknya.
Membesar dalam keluarga kerap berhijrah, pekerjaan bapanya di syarikat terkemuka membawa dirinya tinggal di beberapa negara termasuk Jepun, Belgium, Perancis dan Hong Kong.
Malah, beliau yang berumur 38 tahun itu juga pernah melanjutkan bidang doktor falsafah dalam jurusan Pengurusan Perniagaan di The University of Manchester, UK.
Akuinya, banyak perkara dapat dipelajari ketika berada di luar negara antaranya budaya dan cara pemikiran lebih luas.
Peluang untuk melanjutkan pelajaran di luar negara juga membuka landasan untuk membina jaringan terutama bagi dirinya sebagai ahli akademik.
"Saya berpeluang berkolaborasi dengan rakan dari Universiti Teknik Manabi, Ecuador bagi menjalankan penyelidikan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram