Sempat beritahu nak tenangkan diri di Pulau Pinang, gadis 18 tahun asal Tampin tak pulang rumah lebih seminggu lepas keluar bekerja


  • 112
  • Khamis, 31 Okt 2024

Puteri yang tidak pulang ke rumahnya selama lebih seminggu selepas keluar bekerja di Tampin, Melaka pada 22 Oktober lalu. — Polis

SEORANG gadis berusia 18 tahun bernama Puteri Ellyana Natasha Abdullah dilaporkan tidak pulang ke rumahnya di Tampin, Melaka lebih seminggu selepas keluar bekerja pada 22 Oktober lalu.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman memaklumkan, pihaknya kini sedang menjejaki gadis tersebut.

Menurutnya, pengadu menghantar anaknya ke tempat kerja iaitu di sebuah restoran makanan segera di Tampin kira-kira pukul 2 petang pada 22 Oktober lalu.

BACA LAGI: ATM sahkan pelajar UPNM dibuli senior, badan melecur ditekap seterika

BACA LAGI: Jumpa bomoh di Kedah lepas syak 'roommate' mencuri, ramai nasihat jangan semberono bertindak, ambil iktibar kes Zulfarhan

"Pada hari yang sama, semasa pengadu mahu menjemput anaknya pulang, dia mendapati anaknya tiada di tempat kerja.

"Pengadu kemudiannya pulang ke rumah dan mendapati anaknya masih tiada.

"Pengadu mengesyaki bahawa anaknya telah keluar dari rumah bersama kenalannya ke Rawang, Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Amiruddien berkata, pada waktu sama, Puteri sempat dihubungi dan memaklumkan dirinya kini di Pulau Pinang untuk menenangkan diri.

Namun, pada Selasa lalu, pengadu memberitahu pegawai penyiasat kes bahawa anaknya masih lagi belum pulang ke rumah sehingga sekarang.

Justeru, beliau meminta pertolongan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan remaja berkenana diminta untuk menyalurkannya ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tampin di talian 064431999.

"Orang awam juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Hasmadi Haron di talian 064411222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. Siasatan masih dijalankan sebagai kes OH (orang hilang)," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram