SURAU atau masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat beribadah terutamanya untuk menunaikan solat secara berjemaah.
Ia juga memiliki beberapa fungsi lain yang boleh digunakan oleh masyarakat setempat antaranya sebagai pusat pengajian agama, aktiviti komuniti penduduk, tempat bermesyuarat dan kelas pembentukan akhlak serta pendidikan kanak-kanak.
Kesemua fungsi itu sekali gus dapat menjadikan surau atau masjid sebagai pusat kegiatan spiritual dan sosial yang penting dalam hidup masyarakat terutama di kawasan perumahan.
BACA LAGI: Memancing lebih puas, hobi terbaik anak muda elak ketagih gajet di Desa Melor Serendah
Surau At-Taqwa yang terletak di kawasan perumahan di Desa Melor, Serendah, Selangor. — Facebook
Selain dapat memeriahkan suasana di tempat beribadah, aktiviti komuniti turut mampu mengukuhkan lagi ukhuwah sesama manusia.
Melalui pelaksanaan program dan aktiviti, mereka dapat saling mengenali dan memupuk sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.
Mengambil inisiatif sama, pihak surau At-Taqwa, Desa Melor, Serendah, Selangor juga giat menjalankan pelbagai kegiatan komuniti yang melibatkan seluruh penduduk kawasan itu tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama.
Menurut Setiausahanya, Sufian Sahad, 59, surau yang siap dibina dan mula beroperasi sejak 2021 itu sering menjadi platform untuk menggalakkan kerjasama dan perpaduan penduduk.
Kata Sufian selaku seorang daripada wakil dalam Jawatankuasa Pelaksanaan Sukan Rakyat di Desa Melor, surau At-Taqwa juga aktif mengadakan pelbagai aktiviti seperti solat berjemaah, kuliah agama dan program komuniti yang bertujuan menyemai nilai positif, terutama kepada golongan muda.
Pelbagai aktiviti komuniti diadakan di surau At-Taqwa. — Facebook
"Alhamdulillah, kami mendapat sambutan menggalakkan dari masyarakat.
"Daripada hanya lapan orang yang mendaftar dalam aktiviti pada peringkat awal, kini jumlah kehadiran mencecah hingga 200 orang dalam satu masa," katanya kepada Majoriti.
Katanya, surau itu juga boleh memuatkan kira-kira sehingga seramai 2,000 jemaah dalam satu masa.
Bukan itu sahaja, selain aktiviti keagamaan, surau tersebut turut menjadi tuan rumah untuk program kaunseling khusus untuk remaja dan menyediakan bimbingan kepada anak-anak yang menghadapi cabaran disiplin.
Inisiatif seperti itu bertujuan membentuk generasi muda yang lebih berakhlak dan bertanggungjawab.
Sufian yang merupakan Setiausaha surau At-Taqwa dan wakil penggerak program.
"Ini juga sebagai antara inisiatif kami supaya dapat menggalakkan kanak-kanak untuk kerap ada di surau.
"Surau ini memang terbuka kepada semua, termasuk warga asing asalkan mereka duduk di kawasan ini.
"Kami pun mengalu-alukan mereka untuk hadir program yang kami anjurkan seperti majlis berbuka puasa atau rumah terbuka ketika sambutan perayaan," jelasnya.
Tidak hanya melakukan aktiviti di surau, malah Sufian berkata, pihaknya juga berusaha mengajak penduduk sambil berdakwa dengan menziarahi mereka yang sudah lama tidak datang ke surau.
Sufian berkata, antara cara sesuai untuk mengetahui status mereka sekiranya berdepan dengan masalah kewangan atau kesihatan.
Aktiviti komuniti itu juga banyak melibatkan kanak-kanak agar dapat memberi pendedahan luas terhadap fungsi surau.
"Selalunya, kami akan ziarah ahli-ahli surau yang macam dah lama tak ke surau dan bertanya khabar. Mereka biasanya menerima dengan hati terbuka.
"Kadang-kadang ada yang mungkin sakit dan kami di pihak surau akan hulurkan bantuan bagi yang tak berkemampuan itu," ujarnya.
Jelasnya lagi, pihak surau At-Taqwa sering bekerjasama dengan masjid berhampiran dalam menganjurkan acara besar seperti sambutan Maulidur Rasul dan menziarahi warga emas atau pesakit yang memerlukan sokongan moral.
Dengan pelbagai program yang dirancang pada masa akan datang, pihaknya berharap agar terus komited menjadi pusat ibadah dan sosial yang mampu merapatkan hubungan antara semua penduduk setempat.
"Kami berharap usaha ini mampu memperkukuhkan silaturahim antara penduduk sambil menjadikan surau sebagai pusat komuniti yang inklusif dan menyeluruh," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram