ATM sahkan pelajar UPNM dibuli senior, badan melecur ditekap seterika


  • 112
  • Khamis, 31 Okt 2024

Kejadian dibuli dan ditekap seterika yang berlaku pada arwah Zulfarhan itu nampaknya berulang kembali.

KES melibatkan seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Sungai Besi, Selangor yang dipercayai dibuli dan didera oleh pelajar senior kini sedang disiasat.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) justeru mengesahkan kejadian itu melibatkan pelajar kadet yang dibuli oleh seniornya menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular menerusi media sosial.

ATM berkata, kes berkenaan sedang disiasat di peringkat ALK-UPNM.

BACA LAGI: Jumpa bomoh di Kedah lepas syak 'roommate' mencuri, ramai nasihat jangan semberono bertindak, ambil iktibar kes Zulfarhan

BACA LAGI: Kisah di sebaliknya lebih penting, juruteknologi radiologi Balik Pulau cipta karya seni unik tanam rasa empati

"ATM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kes tersebut.

"Tindakan disiplin yang keras mahupun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

ATM pada masa sama menggesa masyarakat memberi ruang kepada pihaknya untuk menyiasat perkara itu secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.

Pihaknya juga meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan tersebut.

"Segala perkembangan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa," jelasnya.

Sebelum ini, perbuatan itu dipercayai terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih yang bertugas ketika itu selepas menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Kejadian itu juga bukan kali pertama berlaku kerana rakyat pernah digemparkan dengan kes kematian tragis melibatkan pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap pada 2017. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram