SAAT melangkahnya kaki ke studio seni di dalam Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), pastinya berasa seakan-akan memasuki sebuah tempat persembunyian ketika zaman kehancuran pasca nuklear.
Hampir setiap dinding dipenuhi karya berukuran A4 dengan rona sepia, diwarnai percikan merah serta sudut-sudut ruangan dihiasi buku-buku sastera dan kamera vintaj sekali gus mencipta suasana menarik dengan sentuhan seni yang unik.
Itulah ‘sarang’ bagi Mohd Azlan Mam Mohd Latib yang merupakan anak kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang untuk mencurahkan idea dan kreativitinya.
Suasana di dalam ruang studio seninya di Kuala Lumpur. — The Star
Lelaki berusia 50 tahun itu merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Muar di Johor sekitar 1980 yang ketika itu mula menonjolkan minat terhadap bidang seni.
"Usai tamat persekolahan, saya diterima belajar di Universiti Malaya (UM) dalam jurusan Sains Kehidupan dan kemudian berminat melakukan Bio-Med iaitu secara khususnya pengimejan biomedikal dan pengimejan nuklear," katanya.
Menurutnya, 30 tahun lalu Hospital Universiti (kini dikenali dengan nama Universiti Malaya Medical Centre) kekurangan ahli radiografi dan disebabkan itu, Mohd Azlan diminta dan diarahkan memilih laluan itu selepas melihat potensinya yang semakin maju dan berkembang
Graduan Pengimejan Perubatan pada 1996 dalam prosedur radiologi dan intervensi jantung itu bagaimanapun awalnya hanya gemar membuat lakaran sejak belajar di kolej.
Namun, semua pengalaman tersebut menyatu dalam membentuk aliran seni yang diusahakannya sehingga kini.
Lukisan jantung yang dihasilkannya. — The Star
Seni dan empati
Katanya, semua lakaran atau karikatur dihasilkannya adalah mengisahkan tentang individu yang sakit, pesakit mengenakan drip sama ada dalam posisi duduk atau berbaring dalam kamar pembedahan dan waris yang bersedih menangisi permergian di bilik mayat.
"Saya tidak sesekali menyangka ia menjadi teras kepada karya seni saya yang juga menurut saya sebagai tanda dan rasa empati," jelasnya.
Portfolio karya Mohd Azlan juga dihasilkan secara unik dengan menggunakan medium bervariasi.
Lebih unik apabila Mohd Azlan mengadun foto dengan elemen dan teknik tampalan kolaj (cetakan, setem terpakai,stensil, salinan foto, uncang teh dan penapis kopi), imej perubatan dan kesan pensil serta graphite.
Lukisan yang dihasilkan secara tidak langsung mewujudkan rasa empati dalam diri. — The Star
Kesemua itu dilakukan dengan proses rendaman kertas secara manual ke dalam kafien yang didapati dari sisa kopi sewaktu berkerja.
"Jika saya merendam 100 helai kertas dalam bancuhan kopi, setiap satunya akan mempunyai keunikan yang tersendiri.
"Saya cuba mengekalkan ketinggian nilai estetik pada karya saya dengan setiap kesan kopi pada setiap helaian kertas adalah berbeza," ujarnya.
Terikat dengan drama manusia, Mohd Azlan bangga kerana jiwanya terbina dari komponen saintis, komponen seni dan komponen ahli falsafah.
Dalam menterjemah karyanya, ketiga-tiga komponen itu menyatu dan menjadikan beliau sebagai seorang pencerita yang hebat menerusi karya-karya unik beliau.
Kebanyakan lukisannya mengisahkan kehidupan manusia. — The Star
Selain menghasilkan karya seni unik tersendiri, beliau juga peminat dan pengumpul barang-barang vintaj, kecanduan fakta sejarah dan karya-karya sastera.
"Saya sentiasa mencari idea untuk mencipta sesuatu yang tidak tipikal dengan unjuran unik dan tersendiri.
"Karya saya tentang drama kehidupan manusia. Saya mahu ia bersifat provokasi tetapi berstimulasi secara visual dan dalam masa yang sama mencabar minda.
"Saya mahu mencipta kesedaran tentang apa yang ada di sekitar kita. Pada saya, seni adalah medium perakam, bukannya meraih minat pembeli," katanya yang teruja bukan sahaja bertanggungjawab sebagai pengkarya malah pada masa sama bertindak sebagai pendokumentasi.
Setiap karyanya juga menitikberatkan sejarah-sejarah dunia. — The Star
Menurutnya lagi, Mohd Azlan tidak berminat menghasilkan sebuah karya yang sekadar cantik kerana tanggungjawab menyampaikan kisah dan cerita disebaliknya lebih penting.
Apatah lagi sekiranya cebisan-cebisan penting sejarah yang ada dalam simpanannya perlu di mahsyurkan.
"Percayalah, anda tidak mungkin melihat kecantikan pada karya beliau, ia karya yang raw, yang rustic!.
"Terdapat keindahan tetapi dalam bentuk semiotik yang berbeza dan ia lebih surealistik dan selalunya paradoks," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram