Wayang kulit, seni batik, perhiasan logam antara hasil warisan artistik 3 anak Kelantan


  • Massa
  • Rabu, 06 Nov 2024

Penghasilan wayang kulit, perhiasan logam dan batik antara seni warisan yang perlu dipelihara. — ​​​​​​​Gambar hiasan/The Star

KELANTAN antara negeri di Pantai Timur yang kaya dengan seni budaya dan warisan yang unik.

Dengan adat resam dan tradisi yang diwarisis turun-temurun, negeri itu menyajikan kepelbagaian kesenian asli seperti dikir barat, wayang kulit, Mak Yong dan seni silat.

Pelbagai usaha dilakukan pihak kerajaan negeri dan komuniti setempat dalam memelihara warisan berharga itu untuk dipamerkan kepada masyarakat tempatan dan pelancong.

Meskipun gelombang pembangunan dan kemodenan bertali-arus mendatang, namun ia tidak sedikipun melupus keindahan kerja-kerja seni yang sudah sekian lama menjadi antara identiti negeri kelahiran Cik Siti Wan Kembang itu.

BACA LAGI: Amalan ‘bertapa’ seorang diri tiada kaitan mistik, ilmu silat banyak bergantung pada doa

BACA LAGI: 'Setiap keping ada nilai sentimental', Azman layak digelar 'Raja Setem', miliki lebih 20,000 koleksi termasuk klasik

Screenshot (3740)

Terdapat kepelbagaian seni warisan yang terdapat di Kelantan. — Gambar hiasan

Wayang kulit

Mohd Azran Che Aziz memulakan kerjaya sebagai pembuat jasad wayang kulit sejak berusia 16 tahun.

Menurut anak kelahiran Tumpat, Kelantan itu, kemahuannya memilih wayang kulit sebagai subjek kerjaya bukan kerana ia merupakan kepakaran seni warisan, tapi dek minat yang tidak bertepi kepada boneka buatan satu dimensi tersebut.

"Wayang kulit uniknya dari segi watak. Paling menarik, ia diusahakan dan dimainkan oleh orang Melayu, tetapi hikayat diceritakan adalah Hikayat Ramayana berasal dari hikayat Hindu klasik," katanya.

Pemuda berusia 32 tahun itu berkata, wayang kulit biasanya terdiri daripada dua jenis kulit sebagai bahan asas iaitu kulit kambing dan kulit sapi atau kulit lembu.

Kedua-dua kulit itu melalui proses berbeza meskipun hasil akhirnya hampir sama.

"Kulit kambing lebih nipis berbading kulit sapi. Oleh kerana kulit sapi lebih tebal, maka ia akan dijeruk dengan air biasa selama tiga hari dua malam dan kemudian diregangkan hingga nipis.

"Selepas diregangkan, kedua-duanya akan menjalani proses mengikis bulu dan dijemur mengikut keadaan cuaca.

"Setelah cukup kering dan bersih, proses melakar, menebuk dan mewarna dilakukan pada permukaan kulit. Antara watak asas yang selalu dibuat adalah Sri Rama, Laksamana dan Hanuman (berupa seperti kera)," jelasnya.

Wayang kulit mempunyai keunikan tersendiri. — Gambar hiasan/The Star

Secara ringkas, pasukan boneka wayang kulit terdiri dari 32 watak protagonis manakala, watak antagonis antara 20 hingga ke 30 watak.

Menurutnya, wayang kulit klasik mengandungi unsur ritual yang mana setiap boneka watak akan diasapkan dengan tujuan menarik penonton untuk mendengar celoteh Tok Dalang.

Malah, dimaklumkan boneka wayang kulit klasik menjadi kepantangan seandainya dilangkah.

"Itu wayang kulit klasik, tetapi kini amalan itu sudah tiada. Yang ada sekarang hanyalah sekadar persembahan penglipur lara sahaja. Persembahan wayang kulit terdiri daripada sembilan orang dalam satu pasukan.

"Lapan pemuzik digelar Panjak dan seorang Tok Dalang. Geduk, Gedombak, Kesi, Canang, Tetawak (Gong), Serunai, Gendang Ibu dan Gendang Anak antara alat muzik yang akan mengiringi persembahan selama empat jam.

"Ia dimulakan dengan bertabuh (ritma instrumental), babak Pohon Beringin diapit oleh Dewa Panah dan Maharisi dipersembahkan oleh Dalang Muda (dua jam) bermula dengan kisah Keluar Balai (pemerintah bertanya khabar rakyat jelata) dan Masuk Balai sebagai penutup manakala Dalang Tua (dua jam) akan mengambil alih dengan kisah sebenar (cerita teras) yang ingin disampaikan menerusi watak-watak lain.

"Hikayat Ramayana masih menjadi asas cerita, tetapi diolah kepada pengisian isu-isu semasa, isu global dan sebagainya," ujarnya.

People enjoying the Star Wars-inspired wayang kulit during the Ombak Festival.

Seni wayang kulit juga mempunyai penceritaan dan kisah tersendiri. — Gambar hiasan/The Star

Batik Kelantan

Seorang lagi penggiat seni batik, Mohd Asri Matyaman, 59, berkata, seni tekstil itu asalnya dari Tanah Jawa, kemudian dibawa berlabuh di Kelantan dan Terengganu.

Revolusi batik juga bermula dan akhirnya membuatkan hampir seluruh negeri mempunya batiknya sendiri, yang berbeza dari segi motif corak dan harganya.

Beliau yang berkecimpung dalam dunia mencorak kain batik selama 36 tahun berkata, batik Kelantan yang menjadikan flora sebagai motif utama dilihat kurang bervariasi lantaran golongan pereka terhad dan menjadi punca kepada statiknya motif juga tidak bertambah.

"Kebanyakan pereka motif batik tradisi Kelantan adalah individu ulangan yang mencurahkan kreativiti warisan di lokasi diperlukan dan lokasi berbeza. Hasilnya tetap sama," jelasnya.

Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Puyie juga berpeluang mempamerkan karya batik bermotifkan topeng di Vancouver, Amerika Syarikat atas usaha Profesor Salmah Abu Mansor dari Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mohd-Asri-Mat-Yaman_1

Mohd Asri berkecimpung dalam dunia mencorak kain batik selama 35 tahun. — Galeri Khazanah Kelantan

Menurutnya, batik Kelantan mengamalkan teknik celup dan retak seribu yang mana fabrik berlilin direnyukkan bagi mendapatkan ilusi motif permukaan yang retak.

Beliau yang pernah menuntut di Sekolah Menengah Industri Kerajinan di Jawa Barat, Indoensia itu juga menghasilkan karya batik kontemporari yang mendapat perhatian pengumpul barang seni tempatan dan luar negara.

Jong Godam

Mewarisi ilmu pertukangan besi daripada bapa mertuanya, Mohd Zaki Husain, 58, berkongsi kepakarannya dalam menghasilkan barang perhiasan logam dan senjata.

"Lebih 20 tahun saya menjadi pembantu kepada bapa mertua yang bekerja sebagai tukang besi. Daripada pengalaman ditimba maka bermulalah kerjaya saya sebagai Jong Godam.

"Jong bermaksud tukang manakala godam adalah perbuatan menempa besi,” ujarnya yang berasal dari Kampung Manan, Tendung, Pasir Mas, Kelantan," katanya.

Tuan-Haji-Ibrahim-bin-Ismail-Produk3

Kraf logam terbahagi kepada dua asas buatan. — Gambar hiasan

Jelasnya, produk kraf logam terbahagi kepada dua asas buatan iaitu logam asli (besi waja) dan logam campuran. Kedua-dua hasil logam itu berbeza dari segi pembuatan dan hasilnya.

Besi waja boleh terus ditempa manakala besi campuran harus dilakukan susunan lapisan tertentu sebelum diadun dengan besi waja sewaktu proses menempa besi dilakukan.

"Besi waja tidak menampilkan ciri istimewa berbeza dengan besi campuran yang hasil akhirnya menampilkan corak atau motif tampak cantik pada permukaan.

"Krom, paku kereta api lama, bebuli besi (bearing) dan zink antara logam digunakan sebagai bahan logam campuran.

"Semua logam tersebut memberikan tekstur dan motif abstrak pada subjek dihasilkan juga kesan khas seperti sudah berusia ratusan tahun," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram