[VIDEO] Kecil-kecil cili padi, Saddam Pittli latih anak jadi Spartan cilik negara


Syahid Al Zahran (Kanan) tidak ubah seperti bapanya Saddam Pittli (Kanan). Malah kedua-duanya mempunyai misi yang sama, ingin menempa nama dalam arena sukan berhalangan antarabangsa.

BIARPUN baru menjangkau usia lapan tahun, nama Syahid Al Zahran Mohd Saddam bukanlah nama yang asing dalam larian berhalangan (Spartan) dalam dan luar negara.

Malah jika melihat sosok tubuhnya itu, pasti ramai yang tidak menyangka budak lelaki tersebut pernah menggondol kejuaraan berganda di Kejohanan Spartan Kids di Johor, Malaysia dan Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.

Ibarat mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, murid tahun dua di murid Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur itu sebenarnya merupakan anak kepada atlet negara dalam acara sukan lari berhalangan, Mohd Saddam Mohd Pittli.

BACA LAGI: Nyawa di hujung tanduk, Dr Mohd Khir Rezza imbau semula pengalaman rawat tentera parah akibat letupan

BACA LAGI: [VIDEO] Semangat tentera namun berjiwa atlet, perjalanan luar biasa Saddam Pittli sebagai anak jati Teluk Intan

Syahid

Syahid Al Zahran budak lelaki tersebut pernah menggondol kejuaraan berganda di Kejohanan Spartan Kids di Johor, Malaysia dan Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.

Sekilas pandang, Syahid Al Zahran tidak ubah seperti bapanya yang lebih dikenali sebagai Saddam Pittli. Malah kedua-duanya mempunyai misi yang sama, ingin menempa nama dalam arena sukan berhalangan antarabangsa.

Menurut Saddam Pittli, anak lelakinya itu mula menunjukkan minat dalam sukan tersebut sejak berusia tiga tahun lagi.

"Kedengaran macam mustahil tetapi Syahid Al Zahran sudah mula mengikuti saya berlatih di trek pada usia itu.

"Ada ketika, Syahid membuat senaman tekan dan bangkit tubi serta berlari anak di trek. Dari situlah saya terfikir untuk melatihnya dalam sukan ini.

"Apabila Syahid Al Zahran semakin besar, saya lihat minat dia semakin mendalam tetapi pada awalnya saya tidak meletakkan sasaran untuk Syahid dan sekadar melatih dia untuk stamina," katanya kepada Majoriti.

Tambah pemuda berusia 33 tahun itu lagi, dia mula serius melatih Syahid Al Zahran pada tahun lalu selepas putera sulungnya bergiat aktif secara kompetitif sejak di usia tujuh tahun menerusi pelbagai siri kejohanan tempatan dan antarabangsa.

"Syahid Al Zahran bermula secara kompetitif menerusi satu kejohanan kategori terbuka di Sarawak dan sejak dari pertandingan itu saya nampak semangat juang dia semakin tinggi.

"Sejujurnya, saya sebagai ayah sangat berbangga melihat Syahid Al Zahran peroleh tempat keenam keseluruhan yang mana di kedudukan teratas tersebut majoritinya peserta antarabangsa," ujarnya.

Bercerita lanjut, Saddam Pittli kini sedang giat melatih anaknya bagi persediaan kejohanan Spartan Kids mewakili Malaysia ke Singapura Jun depan.

"Insya-ALLAH kalau ada rezeki dan peluang saya nak Syahid Al Zahran menjuarai pertandingan tersebut dan mencipta sejarahnya yang tersendiri.

2955581

Saddam Pittli pernah dinobatkan individu paling gagah Asia Tenggara pada 2018. — KIX HD

Meski terikat dengan jadual persekolahan sesi pagi dan kelas agama waktu petang, Syahid Al Zahran kekal bersemangat meneruskan latihan.

Tambah Saddam Pittli lagi, dia juga inginkan anaknya juga berjaya dalam pendidikan. Sehubungan itu, dia akan memastikan setiap latihan tidak akan mengganggu sesi persekolahan Syahid Al Zahran.

Untuk rekod, Saddam Pittli pernah meraih pingat perak dan gangsa untuk negara pada Sukan SEA 2019 dalam sukan berhalangan, beliau kini membuat persiapan untuk beberapa lagi pertandingan utama bagi tahun ini.

Malah, Saddam Pittli pernah dinobatkan sebagai ‘Individu Paling Gagah Asia Tenggara’ yang menundukkan 21 finalis lain dari Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam dalam pertarungan hebat R U Tough Enough? Asia Tenggara pada 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram