[VIDEO] Bermula sebab minat, pegawai bank akhirnya nekad berhenti kerja demi profesion pengkaji sejarah


  • 112
  • Sabtu, 02 Nov 2024

Bermula dengan hanya minat untuk menambah pengetahun tentang sejarah perang, Zafrani kini terkenal sebagai pengkaji sejarah, khususnya berkaitan Perang Dunia Kedua dan pendaratan Jepun di Kelantan.

UMUM mungkin pernah mendengar tentang pendaratan tentera Jepun di Tanah Melayu pada 1941, namun hakikatnya, hanya segelintir yang benar-benar menyelami kisah di sebalik peristiwa penuh debaran itu.

Di sebalik tarikh yang tercatat dalam buku sejarah, tersembunyi detik-detik mencengkam dan mencemaskan ketika bumi Tanah Melayu pertama kali diinjak oleh tentera negara Matahari Terbit.

Bukan sekadar serangan ketenteraan, tetapi satu peristiwa yang mengubah nasib tanah air ini dengan kekejaman yang tidak terbayangkan.

BACA LAGI: Dari bayangan Bruce Lee ke layar perak, Saiful Zelwany turun ilmu seni pertahan diri buat Syafie Naswip

BACA LAGI: Nyawa di hujung tanduk, Dr Mohd Khir Rezza imbau semula pengalaman rawat tentera parah akibat letupan

Walaupun sejarahnya dipelajari dalam bilik darjah, berapa ramai yang menyedari betapa getirnya cabaran yang dilalui oleh para pejuang kita, dan betapa dalamnya luka yang ditinggalkan oleh penjajahan Jepun itu? Di sini, sejarah bukan hanya catatan, tetapi legasi yang menggema melalui darah perjuangan anak bangsa.

Bagi seorang pengkaji sejarah, Zafrani Mohd Arifin, dia sanggup membuat keputusan besar dalam hidupnya dengan meninggalkan kerjaya yang stabil sebagai pegawai bank setelah berkhidmat selama lebih dua dekad.

Bagi Zafrani, ia adalah satu langkah yang dipandu oleh cinta mendalam terhadap sejarah ketenteraan, khususnya peristiwa penting Perang Dunia Kedua dan pendaratan pertama tentera Jepun di Kelantan.

450679898_1931925173903834_3568498968217727264_n

Pengkaji sejarah, Zafrani Mohd Arifin

Berbekalkan pengetahuan luas yang diperoleh melalui kajian lapangan, temu bual, dan buku-buku sejarah, Zafrani telah mendedikasikan hidupnya untuk menghidupkan kembali detik-detik bersejarah yang sering kali terpinggir, memastikan generasi hari ini memahami dan menghargai warisan penting berkenaan.

Sehubungan itu, tidak hairanlah beliau sering menerima jemputan oleh pihak muzium, sekolah, universiti untuk menyertai pameran dan memberikan penerangan sejarah yang berlaku di Kelantan, selain menjadi rujukan kepada penyelidik dan pelancong luar negara.

Berkongsi cerita minatnya, Zafrani yang berusia 53 tahun berkata, minatnya bermula sekitar awal 80-an apabila sering menonton cerita berkaitan Perang Dunia Kedua seperti Combat, Pearl Harbor dan Baa Baa Black Sheep, yang turut memberi impak secara langsung kepada Tanah Melayu.

"Apabila ia (peperangan) turut berlaku di persekitaran kita dan ada pertalian dengan keluarga sendiri yang melaluinya, kita merasakan peristiwa itu lebih dekat. Jadi, timbul perasaan ingin tahu," katanya yang kini bertugas sebagai pemandu pelancong.

Bagi mengembangkan lagi pengetahuan tentang sejarahnya, beliau banyak membaca buku mengenai peperangan dari dalam dan luar negara serta melawat tempat-tempat kesan tinggalan sejarah berkaitan kemerdekaan dan Perang Dunia Kedua di Kelantan.

Antara penemuan yang diperoleh bersama pasukannya berkaitan tinggalan Perang Dunia Kedua yang dijumpai di Kelantan ialah kelongsong peluru tentera British, duit syiling lama, kelengkapan tentera, telaga kem tentera British serta tiga kesan kawah bom Jepun yang masih ada di Machang.

"Peralatan yang berkaitan tentera itu turut disumbangkan kepada Muzium Perang Bank Kerapu di Kota Bharu sebagai bukti dan bahan pameran kesan tinggalan sejarah perang," katanya.

Pada masa sama, Zafrani juga aktif menulis dan menterjemah buku-buku berkaitan sejarah perang antaranya The War in Malaya (1949) yang ditulis oleh Panglima Tentera British, Leftenan Jeneral Arthur Percival.

Anak jati Kota Bharu itu berkata, sejarah berkaitan Perang Dunia Kedua dan pendaratan tentera Jepun di Kelantan sangat berpotensi sebagai daya tarikan pelancongan bersejarah namun usaha mempromosikannya masih belum dilakukan secara menyeluruh.

"Sebagai contoh, Pearl Harbor menjadi antara lokasi tumpuan pelancong dunia sedangkan kapal Amerika Syarikat yang dibom tentera Jepun telah pun tiada, begitu juga Jambatan Kereta Api maut Burma-Siam yang tidak lekang menerima kunjungan pelancong, sedangkan ia hanya sebuah jambatan semata-mata.

"Pelancong datang kerana mahu menjiwai peristiwa yang pernah berlaku di situ. Di Kelantan, tidak kurang juga, contohnya Pantai Kuala Pak Amat, lokasi tapak pertempuran pertama di Tanah Melayu antara tentera British dan Jepun pada 8 Disember 1941, sejam lebih awal sebelum berlaku serangan ke atas Pearl Harbor.

"Ini adalah sejarah dan rekod dunia yang setaraf dengan Pearl Harbor. Persoalannya kenapa ramai yang pergi ke Pearl Harbor, tetapi tidak di sini. Sepatutnya kita sama taraf, secara tidak langsung akan memberi kesan kepada ekonomi," katanya.

447519333_1908607166235635_4771083739288462361_n

Zafrani (dua dari kanan) berkata, sejarah berkaitan Perang Dunia Kedua dan pendaratan tentera Jepun di Kelantan sangat berpotensi sebagai daya tarikan pelancongan bersejarah namun usaha mempromosikannya masih belum dilakukan secara menyeluruh.

Zafrani berkata, adalah penting untuk mempelajari sejarah Perang Dunia Kedua dan pendaratan Jepun di Tanah Melayu kerana ia dapat membangkitkan semangat nasionalisme dalam diri selain menghayati bagaimana sukarnya untuk membebaskan negara daripada belenggu penjajah.

"Jadi, (dengan pengetahuan sejarah) boleh timbul kesedaran dalam kalangan rakyat untuk terus mempertahankan negara berdaulat ini.

"Selain itu, ia juga mengingatkan rakyat untuk menghargai pengorbanan tulen pejuang-pejuang terdahulu sehingga sanggup menggadaikan nyawa demi sebuah kemerdekaan," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram