Dari bayangan Bruce Lee ke layar perak, Saiful Zelwany turun ilmu seni pertahan diri buat Syafie Naswip


  • 112
  • Rabu, 23 Okt 2024

Saiful Zelwany (kiri) mengakui, perjalanan kariernya dalam industri hiburan tidak mudah dan penuh dengan liku-liku cabarannya yang tersendiri.

SEBUT saja nama Saiful Zelwany, mungkin akan ramai tertanya-tanya siapa gerangan pelakon lelaki ini?

Walaupun sudah terlibat dengan lebih kurang 10 filem dan dua filem luar negara, namanya juga jarang diuar-uarkan dalam media tempatan dan ibarat seperti pelakon yang tidak didendang.

Namun, di sebalik namanya yang 'sendu', ramai yang tidak menyedari anak jati Perak ini merupakan seorang guru silat yang telah menempa namanya yang tersendiri dalam arena seni mempertahankan diri.

BACA LAGI: Nyawa di hujung tanduk, Dr Mohd Khir Rezza imbau semula pengalaman rawat tentera parah akibat letupan

BACA LAGI: Bukan sekadar terbangkan pesawat, juruterbang bomba bertarung antara elemen alam dan takdir di angkasa

WhatsApp Image 2024-10-21 at 19.39.39

Saiful Zelwany

Lebih mengagumkan lagi, Saiful Zelwany merupakan salah seorang kepada anak murid Dan Inosanto yang merupakan jurulatih seni bela diri Jeet Kune Do.

"Sejujurnya saya mula belajar seni mempertahankan diri sejak berumur tujuh tahun dan saya juga merupakan orang pertama yang memperkenalkan seni bela diri Jeet Kune Do di Malaysia.

"Saya tak hebat, sebab itu saya pergi mencari guru (Dan Inosanto) sehingga keluar negara untuk mencari ilmu. Dari ilmu persilatan, saya tambah lagi ilmu seni mempertahankan diri yang lain," katanya kepada Majoriti.

Untuk makluman, Dan Inosanto merupakan anak didik kepada pelakon terkenal iaitu mendiang Bruce Lee.

Mengimbau kembali perjalanan dalam karier seni, Saiful Zelwany berkata dia pada mulanya terlibat dalam industri hiburan selepas dipanggil sebuah produksi filem sebagai seorang koreografer aksi bagi filem The Deadly Disciple yang dibintangi pelakon India, Vishal Kotian.

"Ketika itu, saya kena ajar Vishal berlawan macam cara Bruce Lee dan memastikan setiap lenggok pergerakannya sama tidak lari dari seni Jeet Kune Do.

"Sejak dari situ, minat saya untuk menjadi pelakon mendalam. Tambahan pula, saya fikir kalau saya berlakon saya boleh memperkenalkan seni silat dan Jeet Kune Do di layar perak," katanya yang juga merupakan Pengasas dan Mahaguru Silat Seni Fitrah Sejagat serta PRISMMATEC (Progressive Individual Style of Mixed Martial Art Technology).

463289584_10230554548399742_2873756887960463070_n

Saiful Zelwany besama barisan pelakon telemovie Budak Kilat.

Saiful Zelwany juga mengakui, perjalanan kariernya dalam industri hiburan tidak mudah dan penuh dengan liku-liku cabarannya yang tersendiri.

"Sejujurnya, saya banyak terlibat dalam drama, filem serta telemovie dan pernah juga memegang beberapa watak utama.

"Tetapi mungkin bukan rezeki nama saya untuk melonjak naik. Lagipun watak yang saya pegang lebih kepada watak serius dan bukanlah watak 'hero Malaya' yang menggunakan dialog cinta sehingga 'mencairkan' hati penonton," ujarnya.

Jelas Saiful Zelwany lagi, kredibiliti artis ketika ini dilihat bersandarkan kepada rupa dan jumlah peminat sehingga menyebabkan artis lama yang berbakat tenggelam.

"Mereka yang kurang menyerlah dan aktif di media sosial akan dianggap kurang bernilai daripada sudut pemasaran dan tarikan penonton di kaca televisyen,"katanya.

WhatsApp Image 2024-10-21 at 13.14.49

Saiful Zelwany (kiri) ketika mengajar Syafie Naswip di set pengambaran telemovie Budak Kilat.

Menyedari agak sukar bagi dirinya menembusi pasaran tempatan, Saiful Zelwany memberanikan diri mengembangkan sayapnya ke luar negara.

"Alhamdulillah, saya mendapat tawaran berlakon di China dalam filem aksi, Special Raid: Awaken tetapi sayangnya filem itu tidak ditayangkan di Malaysia.

"Dalam filem itu saya memegang watak penjahat dan juga sebagai adik kepada Pablo Amirul. Ia adalah satu penghormatan bekerjasama dengan Pablo apatah lagi dia memang seorang pelakon aksi yang dikenali dalam dan luar negara," katanya.

Ditanya tentang perkembangan terkini, Saiful Zelwany berkata dia baru sahaja menamatkan penggambaran sebuah telemovie Budak Kilat.

"Saya dipertanggungjawabkan menjadi koreografer aksi untuk mengajar Syafie Naswip memegang watak seorang peninju.

"Saya kagum dengan semangat Syafie kerana pihak produksi memberi saya masa tiga hari sahaja untuk mengajar dia aksi tinju dan dia pass with flying color," katanya.

Menutup bicara, Saiful Zelwany juga menyeru anak muda di luar sana untuk belajar seni mempertahankan diri.

Katanya, ilmu mempertahankan diri itu penting memandangkan kes-kes jenayah yang semakin menjadi mutakhir ini.

"Golongan wanita atau lelaki terdedah kepada bahaya yang sama. Sekurang-kurangnya, apabila anda mempunyai sedikit ilmu mempertahankan diri, Insya-ALLAH anda akan selamat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram