KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) PDRM FC, Asisten Superintendan Mohamad Hafiz Zainal Abidin bukanlah nama yang asing dalam industri bola sepak tanah air.
Manakan tidak, beliau merupakan antara figura penting yang menaikkan pasukan PDRM FC dalam liga bola sepak tanah air.
Namun, tiada siapa yang menyangka di sebalik senyuman tenang dan kejayaan beliau di lapangan sukan, Mohamad Hafiz pernah melalui detik-detik getir yang menguji keberanian dan jiwanya sebagai seorang pegawai polis.
Mohamad Hafiz merupakan antara figura penting yang menaikkan pasukan PDRM FC dalam liga bola sepak tanah air.
Mengimbau kembali perjalanan kariernya sebagai seorang pegawai polis, anak jati Ipoh, Perak itu tidak pernah menyangka dirinya akan terjun ke dalam dunia badan beruniform.
"Saya sebenarnya graduan dalam bidang pengurusan sukan dan tak pernah berfikir untuk menjadi anggota polis tetapi selepas beberapa tahun, datang minat untuk menyertai badan beruniform.
"Alhamdullilah, mungkin sudah tertulis rezeki untuk saya berada di sini. Sepanjang 18 tahun berkhidmat, saya akui ia bukanlah tugas senang dan ada cabarannya yang tersendiri," katanya kepada Majoriti.
Cerita beliau lagi, pengalaman paling mencabar baginya adalah ketika ditempatkan di Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand selepas menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.
Mohamad Hafiz (kanan) mengakui bangga dengan prestasi semasa kelab bola sepak PDRM FC.
"Selepas tamat latihan, saya ditugaskan di Pengkalan Chepa dekat Kota Bharu, Kelantan.
"Pada ketika itu, kami ditugaskan untuk mengawal laluan sempadan Malaysia-Thailand, termasuk pintu laluan tikus yang sering digunakan oleh penyeludup," jelasnya.
Tambah beliau lagi, kekurangan kemudahan logistik dan tahap agresif penyeludup menambahkan lagi cabaran dalam tugas tersebut.
"Apabila bertugas di sempadan akan ada cabarannya yang tersendiri.
"Bila ditugaskan keluar untuk buat tinjauan, kita (polis) akan turut diperhatikan dan saya sendiri pernah dihimpit hingga jatuh motosikal.
"Saya sendiri pernah menerima ugutan dan beberapa kali diikuti sehingga ke rumah oleh penyeludup, namun kami berjaya mengatasi situasi itu," katanya.
Walaupun ancaman tersebut berisiko, beliau dan pasukannya yang lain memahami tugas mereka untuk menghalang barang-barang kontraban (barang yang dilarang oleh undang-undang negara daripada dieksport atau diimport) dari masuk ke negara.
Mohamad Hafiz berkata, bertugas di sempadan akan ada cabarannya yang tersendiri.
"Itu adalah sumber pendapatan mudah bagi penyeludup, tetapi mereka banyak lari daripada undang-undang kita, terutamanya percukaian dan kastam.
"Jadi, sebahagian tugas kami adalah untuk mengelakkan kerugian besar kepada pihak kerajaan," katanya.
Selain daripada tugasnya sebagai polis, Mohamad Hafiz juga terlibat secara aktif dalam bidang bola sepak.
"Saya ditarik ke Bukit Aman untuk mengendalikan Majlis Sukan PDRM hampir enam tahun, menguruskan atlet sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa," katanya.
Penglibatannya dalam bola sepak semakin serius apabila beliau dipilih sebagai Exco Persatuan Bola Sepak FAM pada 2019.
Beliau juga menyatakan rasa bangganya terhadap prestasi semasa kelab bola sepak PDRM FC yang kini berada di kedudukan lima teratas Liga Super.
"Kami mencapai kedudukan yang baik walaupun dengan perbelanjaan yang terhad," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram