Pembedahan cara terakhir, pilih dulu kasut yang sesuai, antara langkah kurangkan sakit benjolan tulang pada kaki


  • Sihat
  • Ahad, 27 Okt 2024

Memakai kasut bertumit tinggi boleh menyebabkan sakit benjolan tulang yang muncul di pangkal jari kaki. — TNS

PEMAKAIAN kasut yang bergaya sememangnya boleh melengkapkan penampilan dan membuat diri berasa lebih yakin.

Namun, kasut yang formal mungkin tidak baik untuk kaki anda terutamanya pada bahagian jari-jari kaki.

Kasut yang sempit, ketat, tajam atau bertumit tinggi boleh menyempitkan jari kaki besar ke arah jari kecil lalu menyebabkan bunion.

BACA LAGI: Hasrat ke Cameron Highlands tak kesampaian, pelancong Jepun maut bas persiaran rempuh treler

BACA LAGI: Stairs of Death antara 5 trail 'bucket list' uji kekuatan fizikal dan mental hikers kental

larrie6

Pemilihan kasut yang selesa boleh membantu mengurangkan sakit bunion pada jari kaki. —Nona

Bunion adalah benjolan tulang yang muncul di pangkal jari kaki besar.

Apabila sudut jari kaki besar semakin teruk sendi mungkin menjadi merah, bengkak dan mula sakit dan biasanya kesakitan boleh berlaku di kawasan sendi dan di bawah telapak kaki.

Bunion yang lebih kecil dikenali sebagai bunionette boleh muncul di bahagian luar kaki di pangkal jari kaki kelima.

Selain pemilihan kasut yang sesuai terdapat beberapa faktor lain yang menyumbang kepada bunion termasuk:

- Artritis

- Deformiti sejak lahir

- Bentuk kaki yang diwarisi

- Kecederaan

Berikut adalah langkah-langkah untuk menguruskan kesakitan bunion atau bunionette:

1. Melegakan tanpa pembedahan

Biasanya, rasa sakit dan ketidakselesaan ketika memakai kasut atau berjalan jauh membuatkan ramai mencari rawatan yang biasanay merujuk pakar kaki atau pakar ortopedik.

Rawatan awal adalah tanpa pembedahan:

1. Pastikan pilihan kasut sesuai dan pilih yang mesra bunion.

2. Pilih kasut dengan ruang jari kaki yang lebih lebar bagi mengelakkan kasut tajam agar jari-jari kaki anda boleh meregang dan mengurangkan tekanan pada bunion.

3. Cuba memakai kasut anda dengan memastikan ada ruang antara hujung jari kaki besar dan hujung kasut.

4. Ambil ubat tanpa preskripsi seperti paracetamol, ibuprofen, naproxen atau gunakan ais untuk mengurangkan sakit dan bengkak.

5. Cuba penggunaan pemisah jari yang memisahkan jari kaki dan pelindung bunion yang memberikan sokongan antara kasut dan sendi yang sakit.

2. Mempertimbangkan pembedahan

Ingatlah bahawa pembedahan bunion bukanlah pembedahan kosmetik.

Pembedahan biasanya tidak disyorkan kecuali bunion memberi kesakitan yang berterusan yang mengganggu aktiviti harian.

Jika pakar ortopedik memutuskan bahawa pembedahan adalah pilihan terbaik, anda akan menjalani pemeriksaan yang membantu memilih prosedur pembedahan yang sesuai.

Pembedahan mungkin melibatkan satu atau lebih prosedur seperti:

- Menggabungkan tulang sendi jari kaki besar secara tetap.

- Penyusunan semula satu atau lebih tulang di kaki depan ke posisi yang lebih normal untuk membetulkan sudut jari kaki yang tidak normal.

- Mengeluarkan tisu bengkak di sekitar sendi jari kaki besar.

- Meluruskan jari kaki besar dengan mengeluarkan sebahagian tulang.

3. Menerusi pemulihan

Setiap pembedahan bunion adalah berbeza dan begitu juga proses pemulihannya. Pastikan anda berbincang dengan pakar bedah tentang apa yang perlu dijangkakan semasa proses penyembuhan.

Anda mungkin boleh berjalan sejurus selepas prosedur atau mungkin perlu mengelakkan beban berat badan di atasnya semasa ia sembuh.

Ambil perhatian bahawa pemulihan sepenuhnya mungkin mengambil masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan.

Selepas pembedahan, cara terbaik untuk mencegah bunion daripada muncul semula adalah dengan memakai kasut yang sesuai dan tidak menyekat atau menekan mana-mana bahagian kaki anda. – Oleh Dr Taylor Beahrs/Mayo Clinic News Network/Tribune News Service. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram