MENJEJAK denai adalah cara terbaik untuk meneroka, sambil menikmati pengalaman dan pemandangan baru yang dapat menguji ketahanan serta kekuatan anda.
Jika anda ingin mencabar diri lebih jauh dalam pengembaraan mendaki yang seterusnya, laluan-laluan itu mungkin sesuai untuk anda jejaki.
1. Changkong Plank Trail, Gunung Huashan, China
BACA LAGI: Hajat nak ke rumah sepupu tak kesampaian, budak 9 tahun maut kena rempuh kereta di Kelantan
Changkong Plank Trail merupakan trail paling bahaya di dunia.
Pernahkah anda menonton filem mengenai watak utama terpaksa melintasi jambatan kayu usang yang sudah hilang beberapa papan dan mulai bergegar sebaik sahaja dipijak? Hal itu tidak dapat dibandingkan dengan pendakian yang dibuat di Changkong Plank Trail, Gunung Huashan, China.
Huashan adalah salah satu daripada lima Gunung terhebat di China dan denainya dianggap antara yang paling berbahaya di dunia.
Sebelum memanjat dinding untuk mencapai puncak setinggi 2,155 meter, pendaki perlu diikat pada kabel keselamatan, melangkah di atas tangga tidak rata dan berjalan di atas papan kayu yang dipasak di sisi gunung.
West Coast Trail memiliki tangga curam yang berbahaya.
2. West Coast Trail, Pulau Vancouver, Kanada
Denai sepanjang 77kilometer (km) itu terletak di pesisir barat British Columbia, Pulau Vancouver, Kanada.
Walaupun pemandangannya indah, pendakian yang dibuat sangat meletihkan.
Denai itu merangkumi tangga curam, jambatan dan laluan kayu.
Selain bertemu dengan ramai pendaki, anda mungkin berpeluang melihat hidupan liar seperti serigala dan beruang yang sering muncul di sepanjang denai itu.
Pendakian di West Coast Trail biasanya mengambil masa antara lima hingga tujuh hari untuk diselesaikan.
Ramai pendaki berhenti separuh jalan dan berpatah balik, manakala yang lain terpaksa diselamatkan oleh pasukan kecemasan.
Cascade Saddle memiliki permandangan indah buat pendaki.
3. Cascade Saddle, Wanaka, New Zealand
Denai itu disertakan dengan amaran, iaitu ia hanya sesuai untuk mereka yang berpengalaman dan mempunyai kemahiran navigasi yang tinggi.
Cascade Saddle terletak di tengah-tengah Taman Negara Mount Aspiring di Pulau Selatan New Zealand.
Denai ikonik itu telah mencatatkan 12 kematian dalam beberapa tahun kebelakangan ini akibat batu licin dan keadaan berbahaya yang lain.
Cascade Saddle mempunyai ketinggian hampir 1,500 meter dengan pemandangan menakjubkan sepanjang 48.1km.
Pendaki dijangka boleh menyelesaikannya dalam masa dua hari, dengan pilihan untuk berkhemah di denai atau bermalam di pondok gunung.
Striding Edge merupakan kawasan yang terkenal dengan cuacanya yang sering berubah.
4. Striding Edge, Lake District, Britain
Denai itu sesuai dengan namanya kerana pendaki akan berjalan di tepi-tepi laluan sepanjang 12km selama kira-kira lima hingga tujuh jam.
Striding Edge terletak di Lake District, England, kawasan yang terkenal dengan cuacanya yang sering berubah.
Denai itu membawa anda ke puncak ketiga tertinggi di Taman Negara Lake District.
"Anda harus mempunyai kemampuan untuk membaca peta dan kompas kerana anda akan mengakhiri pendakian di puncak yang sering diselubungi awan,” kata Mark Eddy dari syarikat pimpinan, Mountain Journeys.
Inca Trail dikenali sebagai tangga maut.
5. Inca Trail, Huayna Picchu, Peru
Dikenali sebagai stairs of deaths, tangga batu yang curam itu dibina oleh orang Inca yang membawa pendaki terus ke puncak Huayna Picchu.
Pendakian Inca Trail sepanjang 41.84km bermula pada ketinggian sekitar 2,743 meter di atas paras laut dan naik melebihi 3,962 meter.
Ia adalah pendakian yang sukar, tetapi sangat memuaskan.
Walaupun namanya menggerunkan, sebenarnya tidak banyak kematian berlaku terutama apabila mengambil kira tapak itu menerima lebih daripada 67,000 pengunjung setiap tahun.
Terdapat pelbagai pakej untuk mendaki laluan itu serta melawat runtuhan Machu Picchu yang berdekatan sama ada dalam kumpulan atau secara persendirian.
Laluan-laluan itu bukan untuk mereka yang mudah cemas atau mempunyai masalah vertigo. Sebelum mencuba pendakian yang mencabar, pastikan anda bersedia dengan peralatan mendaki yang sesuai, peta, bekalan makanan dan air, serta rancangan kecemasan. — TheStar
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram