Lelaki disangka penculik rupanya hanya beri sedekah di Ipoh


  • 112
  • Jumaat, 25 Okt 2024

Seorang lelaki berusia 35 tahun disangka penculik tapi sebenarnya memberikan sedekah di Ipoh.

SEORANG lelaki sudah disalah anggap ingin menculik kanak-kanak di Ipoh, Perak sedangkan dia mahu memberikan sedekah kepada kanak-kanak berusia lima tahun.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian yang berlaku pada Rabu mendapati seorang lelaki berusia 35 tahun dikatakan mahu menculik seorang kanak-kanak ketika menghulurkan wang tunai kepada mangsa.

Menurut Abang Zainal, berlaku salah faham melibatkan ibu mangsa terhadap niat tertuduh itu.

BACA LAGI: Remaja Lahad Datu ditemukan maut tiada elemen jenayah, polis siasat kemungkinan terkena objek akibat kemalangan

BACA LAGI: [VIDEO] Buruh ditemui lemas disyaki terjatuh ke dalam Sungai Golok

"Hasil siasatan terperinci mendapati ibu kepada kanak-kanak itu telah salah faham terhadap perbuatan suspek yang menghampiri dan memberikan wang tunai kepada mangsa.

Suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan bekerja sebagai kontraktor dan hasil semakan rekod jenayah mendapati tiada sebarang rekod jenayah lampau,” kata Abang Zainal dalam kenyataannya.

Pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 44 tahun pada Rabu berkenaan kejadian tersebut.

Menurut laporan, kejadian tersebut berlaku pada 2 petang hari yang sama.

Abang Zainal turut menafikan wujudnya kes penculikan kanak-kanak berlaku di Ipoh. Dia turut memberikan peringatan yang pihak polis akan mengambil tindakan keras sekiranya ada pihak menyebarkan berita palsu untuk menggugat ketenteraman awam.

"Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras ke atas mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu atau tidak benar yang boleh menggugat ketenteraman awam di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram