Hasrat ke Cameron Highlands tak kesampaian, pelancong Jepun maut bas persiaran rempuh treler


  • Hobi
  • Jumaat, 25 Okt 2024

Seorang pelancong berasal Jepun maut manakala 12 lagi individu disahkan tercedera selepas bas persiaran merempuh belakang sebuah treler di lebuh raya berhampiran Taiping, Perak pada Khamis..  

SEORANG pelancong berasal Jepun maut manakala 12 lagi individu disahkan tercedera selepas bas persiaran merempuh belakang sebuah treler di lebuh raya berhampiran Taiping, Perak.

Agensi pelancongan Jepun, JTB Corp melaporkan bahawa nahas berlaku pada Khamis ketika bas itu menuju dari Pulau Pinang ke Cameron Highlands, Pahang.

Presiden dan ketua pegawai eksekutif JTB, Eijiro Yamakita berkata, seorang wanita berusia 70-an meninggal dunia akibat kecederaannya.

BACA LAGI: Stairs of Death antara 5 trail 'bucket list' uji kekuatan fizikal dan mental hikers kental

BACA LAGI: [VIDEO] Ajal buat benda disukai, peluncur ombak jelita Itali maut, dada tertusuk ikan todak di Sumatera Barat

6116020222935810276

Pelancong Jepun maut sewaktu mahu bercuti di Cameron Highland.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak pagi Jumaat berkata, mangsa termasuk pemandu dan pemandu pelancong tempatan (tour guide) beserta 11 pelancong Jepun terdiri daripada tiga lelaki dan lapan wanita.

Susulan itu, kesemua 13 mangsa telah dibawa ke hospital selepas menerima rawatan awal di lokasi kejadian.

Yamakita berkata, beberapa mangsa yang terselamat cedera parah, bagaimanapun punca sebenar kejadian masih berada dalam siasatan.

Dalam pada itu, gambar yang dikeluarkan oleh pihak bomba menunjukkan bahagian hadapan bas itu rosak teruk dengan cermin depan pecah.

"Sebagai sebuah agensi pelancongan, kami benar-benar kesal dengan kejadian ini dan memohon maaf sedalam-dalamnya," kata Yamakita.

Syarikat itu menyatakan bahawa pihaknya bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa tempatan dan Kedutaan Jepun di Malaysia.

Kakitangan dari pejabatnya di Kuala Lumpur dan Tokyo telah dihantar untuk memberi sokongan kepada para penumpang serta ahli keluarga mereka.

Yamakita berkata, bas itu disewa oleh pengendali pelancongan tempatan dan ia memenuhi piawaian keselamatan JTB. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram