PELAKON veteran Amerika Syarikat (AS), Ron Ely dilaporkan meninggal dunia pada usia 86 tahun di kediamannya di California, AS pada 29 September lalu.
Terkenal dengan watak ikonik dalam filem Tarzan era 1960-an, karier lakonan Ely memuncak selepas dia ditawarkan sebagai tunjang dalam siri popular tersebut.
Hal kematian itu disahkan oleh anaknya, Kirsten Casale Ely menerusi laman Instagram pada Khamis.
BACA LAGI: 'PDRM tolonglah ambil tindakan, sekat perhimpunan 'tribute' Liam Payne di KL'
"Ayah saya adalah seorang perwira, pelakon, penulis, jurulatih dan idola dalam keluarga kami.
"Dia membawa pengaruh positif kepada orang ramai walau di mana juga dia berada, itu merupakan satu keajaiban.
"Saya mengenalinya sebagai bapa dan ia merupakan kenangan serta penghormatan yang cukup besar," katanya yang mengidolakan mendiang ayahnya sejak kecil.
Dalam pada itu, mendiang Ely sebelum ini pernah berdepan detik hitam dalam hidupnya apabila kehilangan isteri dan anak serentak di depan matanya sendiri.
Isteri keduanya, Valerie Lundeen Ely, 62, maut ditikam anak lelaki mereka, Cameron Ely, 30, di kediaman keluarga itu di Santa Barbara pada 2019.
Namun, lebih menyedihkan apabila anaknya turut maut selepas ditembak polis yang tampil memberikan pertolongan ketika kejadian.
Menganggap kematian anaknya sebagai satu perkara tidak wajar, Ely mencabar laporan pendakwa raya dengan dakwaan ia sebagai satu pembunuhan namun kes itu ditutup selepas pelaku disahkan maut di lokasi kejadian.
Menerusi perkahwinan pertama, mendiang Ely mendapat dua orang anak perempuan iaitu Kirsten dan seorang lagi, Kaitland Ely Sweet, 35, yang kini sudah pun berkahwin dan memiliki seorang cahaya mata.
Perkahwinan pertamanya pada 1959 tidak bertahan lama apabila mendiang dan isteri bercerai dua tahun kemudian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram