'Perdana Menteri tak kenal, tanya Rukun Negara pun tak tahu', PLKN 3.0 boleh bantu bentuk jati diri bakal pemimpin masa depan negara


  • Massa
  • Rabu, 23 Okt 2024

PLKN 3.0 yang dijangka dilaksanakan seawal Jun 2025 nanti diharapkan dapat memupuk semangat patriotisme dan jati diri dalam kalangan belia Malaysia. — The Star

PROGRAM Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan sebuah program kenegaraan yang melibatkan golongan remaja dan dewasa berusia 18 tahun ke atas untuk menjalani kursus latihan wajib selama tiga bulan di Pusat Latihan PLKN di seluruh negara.

Program yang bertujuan membina semangat patriotisme, disiplin dan kemahiran kelangsungan hidup itu juga meliputi latihan fizikal, kepimpinan dan khidmat masyarakat secara berkumpulan.

Bercerita lanjut tentang PLKN, Setiausaha Persatuan Jurulatih PLKN Malaysia, Ahmad Fakrulah Sha’ri yang pernah berkhidmat di tujuh kem latihan mengakui adanya perubahan positif para peserta dari hari pertama mereka tiba hingga hari terakhir program.

BACA LAGI: Sanggup berhenti kerja, jodoh ubah impian pengembara berbasikal dari Eropah ke Tanah Suci Makkah

BACA LAGI: Akta Perkhidmatan Pos mungkin dipinda, syarikat digalak guna EV dan AI — Fahmi

6071400357453480124

PLKN melibatkan golongan belia di Malaysia selepas tamat persekolahan. — The Star

Beliau yang melatih lebih 10,000 peserta di Pahang, Terengganu, Selangor dan Johor memberitahu, program itu berjaya membentuk peserta menjadi individu yang lebih bertanggungjawab walaupun selepas ia berakhir.

"Sepanjang program kami dapat lihat perubahan. Ada yang datang tidak tahu apa-apa, tanya siapa Perdana Menteri tak kenal, tanya Rukun Negara pun tak tahu. Apabila di PLKN, baru timbul semangat patriotisme dalam diri.

"Dari segi disiplin pun makin bertambah baik menerusi latihan fizikal yang dijalankan. Dari hari ke hari mereka semakin yakin berdepan cabaran dan tugasan diberikan," katanya yang berpengalaman selama 12 tahun dalam PLKN.

Mengulas hubungan antara kaum sepanjang program, Ahmad Fakrulah memaklumkan, sesetengah peserta mengakui tidak pernah berkawan selain kaum mereka sendiri.

"Namun, segala-galanya berubah apabila mereka berada di PLKN.

"Sebelum ini, kebanyakannya selesa berkawan dengan kaum sendiri, misalnya Melayu dengan Melayu, Cina dengan Cina dan India dengan India.

"Bagaimanapun, di PLKN mereka mula bergaul dan saling memahami," jelasnya.

Unity-Malaysia

PLKN menyatukan perpaduan rakyat berbilang bangsa dan kaum. — Gambar hiasan

Jati diri

Meskipun tempoh setiap program hanya tiga bulan, Ahmad Fakrulah menjelaskan, ukhwah antara jurulatih dengan peserta dan antara peserta kekal terjalin.

"Kami jurulatih dengan pelatih hanya akan bertemu apabila berlaku bencana seperti banjir di Selangor dan Pahang.

"Kami iaitu jurulatih bersama alumni PLKN, Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) berganding bahu menjadi sukarelawan," ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Fakrulah berkongsi bahawa pihaknya berharap kerajaan dapat memanggil jurulatih PLKN sebelum ini untuk turut sama menjayakan PLKN 3.0 kerana dalam diri mereka tersimpan keinginan mendidik anak bangsa.

Bagi yang mungkin belum tahu, PLKN pernah dihentikan selama setahun pada 2015 disebabkan faktor kos yang terlalu tinggi dan diperkenalkan semula pada 2016 sebagai PLKN 2.0 dengan jumlah pelatih hanya kira-kira 20,000 setahun.

Pada 13 Ogos 2018 pula, Mesyuarat Kabinet memutuskan untuk memansuhkan PLKN dan Biro Tatanegara (BTN) serta-merta.

Bagaimanapun, kerajaan bersetuju supaya Kementerian Pertahanan melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dengan konsep dan format baharu.

plkn-3.0

Antara fasa yang akan dilaksanakan dalam PLKN 3.0 nanti.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Julai lalu memberitahu bahawa pihaknya bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menyedia dan merangka modul latihan secara berfasa iaitu Fasa Pra PLKN, Fasa Latihan Asas, Projek Rintis dan Fasa Latihan Asas di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Kerajaan juga menjangkakan program tersebut akan dilaksanakan seawal Jun 2025.

Ahmad Fakrulah justeru mengharapkan agar cadangannya dapat dipertimbangkan bagi menjayakan program tersebut.

"Setakat ini, masih belum ada kata putus siapa yang bakal melatih. Namun, cadangan untuk meminta veteran tentera itu satu langkah yang baik.

"Kami berharap dapat sama-sama menjayakannya berdasarkan pengalaman melatih peserta sebelum ini," terangnya lanjut.

Pembaharuan dalam PLKN 3.0 itu sekali gus menarik perhatian bekas pelatih lain termasuk selebriti terkenal, Alif Satar.

Sebagai bekas pelatih di Kem Princess Haliza di Sepang, Selangor pada 2009, Alif mencadangkan sesi latihan baharu seperti berenang, berbasikal dan berlari.

"Dengar kata PLKN akan kembali? Latihan dalam komuniti kecil dekat kem itu boleh memupuk semangat patriotisme secara tidak langsung. Semua lapisan bangsa dan latar belakang, susah senang bersama.

"Jangan berhenti berkhidmat di kem sahaja, kena teruskan khidmat kepada komuniti tak kira dalam apa jua bidang sebab kitalah wira dan wirawati harapan bangsa," katanya.

Sementara itu, pembinaan karakter adalah modul untuk membina karakter yang berkesan bagi para peserta. Ia merangkumi diri, keluarga, komuniti dan negara manakala elemen khidmat masyarakat pula mengenai projek masyarakat desa, pemahaman sosial tempatan dan sebagainya.

1020232_bsnacKZYndtp1qgmAPIWgMEXszV0wgEElMr0U6_zVCU

Sebanyak 13 kem tentera Wataniah akan digunakan ketika PLKN 3.0. — Gambar hiasan

Sebanyak 13 kem tentera Wataniah akan digunakan untuk latihan selama tempoh 45 hari yang mampu menampung kapasiti hingga 4,000 pelatih.

Pelaksanaan PLKN 3.0 turut merangkumi dua fasa dengan fasa pertama membabitkan penyertaan pelajar Tingkatan Empat di sekolah menerusi badan beruniform.

Mereka yang selesai SPM pula akan dilatih dan diambil untuk latihan fasa kedu serta lebih kepada latihan disiplin dan ketenteraan.

Kerajaan pada masa sama memastikan agar kos pelaksanaan PLKN 3.0 tidak melebihi RM100 juta setahun berbanding lebih RM500 juta setahun seperti sebelum ini.

Dalam pada itu, Ketua Sukarelawan Selangor (SERVE), Ahmad Danish Hairudin, 31, menjelaskan, penyertaan pelajar tingkatan empat dilihat sebagai salah satu pelan penambahbaikan PLKN 3.0.

"Bagi saya, ia merupakan usaha baik yang dapat memberi manfaat kepada semua. Generasi muda berumur 18 tahun sudah boleh mengundi pada pilihan raya.

"Jadi, apabila PLKN 3.0 dibuka untuk pelajar tingkatan empat, mereka akan lebih cepat memahami nilai perkauman dalam sesebuah negara.

"Pendedahan awal ini juga dapat mengajar mereka erti kenegaraan agar dapat membentuk generasi muda yang berfikiran terbuka dan lebih intelektual," ujarnya.

Perpaduan

Mengulas lanjut berhubung manfaat PLKN 3.0, Ahmad turut menyatakan bahawa program berkenaan mendidik para peserta nilai kerjasama antara kaum.

"Bakal peserta akan lebih memahami dan menjiwai konsep Malaysia yang sebenar. Mereka harus faham corak kehidupan berbilang kaum terdiri daripada Melayu, Cina dan India," ujarnya.

Beliau memberitahu, beberapa faktor harus ditambah baik untuk memastikan PLKN 3.0 mencapai misi yang disasarkan.

"Ia merupakan satu idea bernas yang bukan hanya dapat mengurangkan kos, malah modul diajar juga berbeza apabila pelatihnya daripada kem itu sendiri.

"Saya percaya kerajaan telah melakukan penelitian rapi untuk memastikan PLKN 3.0 lebih berkualiti. Misalnya, isu yang berbangkit sebelum ini adalah gangguan seksual. Hal ini wajar diperhalusi agar tidak berulang," terangnya.

Modul tersebut yang berkonsepkan kenegaraan juga diharapkan dapat diterapkan dalam usaha melahirkan generasi yang patriotik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram