[VIDEO] Bergilir kasut dengan kakak, Cikgu Farrah nekad belikan yang baharu sebab pernah dibantu guru semasa zaman sekolah


  • Massa
  • Selasa, 22 Okt 2024

Tangkap layar video memaparkan keadaan murid yang sanggup ke sekolah meskipun terpaksa memakai kasut rosak.

KISAH guru wanita yang membantu seorang murid lelaki dengan membeli kasut baharu di sebuah sekolah rendah di Alor Setar, Kedah kini semakin mendapat perhatian ramai.

Ia selepas tularnya video dimuat naik Farrah Norashikin Johari di akaun TikToknya sejak Isnin yang memaparkan keadaan murid tersebut terpaksa berjalan secara menyeret di sebuah dewan sekolah rendah.

Dia yang lebih mesra dipanggil Cikgu Farrah mengakui bahawa situasi berkenaan sememangnya turut menyentuh hatinya.

BACA LAGI: [VIDEO] Cikgu di Kedah sebak murid pakai kasut sekolah sumbat kertas terseret-seret, tak cakap banyak terus beli baharu

BACA LAGI: [VIDEO] Individu 'main redah' tunggang basikal masuk lorong kanan, dikecam tak ada adab guna bulatan jalan

Berkesempatan berkongsi kisah di sebalik video itu, Cikgu Farrah pada awalnya mendapati murid lelaki berusia tujuh tahun itu berjalan dengan kasut sekolah bersaiz besar dan koyak.

"Sebenarnya, bila saya buka sahaja kasut dia, ada kertas diselitkan untuk buatkan kasut lebih ketat.

"Saya nampak je begitu, terus rasa kasihan dan sedih. Jadi, serta-merta saya memang beritahu dia mahu beli kasut baharu.

"Percubaan cari kasut yang sesuai itu pun sebenarnya tiga kali sebab saya ukur kaki dia guna jari sahaja.

"Tetapi, mungkin ditakdirkan ALLAH untuk gerakkan saya bantu murid ini, satu daripada kasut yang salah saiz saya beri pada kakaknya," katanya kepada Majoriti.

Katanya, murid tersebut rupanya terpaksa bertukar-tukar kasut dengan kakaknya yang juga belajar di sekolah sama setiap hari.

Guru Bahasa Inggeris itu berkata, ia bukanlah pertama kali dia membantu individu memerlukan atau dalam kesusahan, namun video tersebut tidak disangka dapat menarik perhatian orang ramai.

6107140919217208848

Cikgu Farrah yang sering membantu individu memerlukan.

Lebih membuatnya terharu apabila melihat kegembiraan dan keterujaan murid terbabit ketika menerima sepasang kasut baharu.

"Senyuman yang ditunjukkan dia itu kalau orang Kedah kata 'senyum meleret' buatkan saya tersentuh dan insaf.

"Daripada situ saya dapat rasa betapa pentingnya kita sebagai guru beri perhatian dan bantuan kepada murid-murid memerlukan terutamanya keluarga kurang berkemampuan.

"Saya lakukan kebaikan ini pun sebab saya sendiri pernah rasa susah masa zaman sekolah dan pernah dibantu guru. Jadi, saya buat perkara sama kepada anak murid saya," jelasnya.

Tambahnya, tindakannya itu sekali gus membantu murid itu untuk lebih bersemangat dan fokus belajar di dalam kelas.

"Dia jenis tak banyak cakap, tapi saya boleh nampak dia tunjukkan reaksi positif dan sentiasa ke hadapan bila belajar," katanya.

Cikgu Farrah pada masa sama berharap agar lebih ramai masyarakat membuka mata dan hati untuk membantu mereka yang memerlukan.

Dia mengingatkan bahawa bantuan kecil juga mampu memberi impak besar dalam kehidupan seseorang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram