'Ada 2 import pun tak lepas Ifwat', penyokong Sang Kenari puas hati TFC tumpas di Darul Aman


  • Podium
  • Ahad, 20 Okt 2024

Kedah mengutip tiga mata penuh di laman sendiri menwaskan skuad TFC.

KEMENANGAN skuad Kedah FC ke atas pasukan Pantai Timur, Terengganu FC (TFC) nyata satu keputusan membanggakan buat penyokongnya.

Meskipun dilanda konflik dalaman dan isu tunggakan gaji yang tiada kesudahan, anak-anak buah Nafuzi Zain berjaya memperoleh tiga mata penuh di laman sendiri dengan keputusan 1-0 memihak kepada Sang Kenari.

Kejayaan itu disambut baik penyokong setianya yang menganggap jurang kualiti kedua-dua pasukan tiada bezanya walaupun tidak dibarisi pemain ternama seperti TFC.

BACA LAGI: Anggap gol jumpa Kedah yang terbaik, Paulo Josue kekal komited bersama KL City

BACA LAGI: Jualan tiket lawan TFC rendah, 'signal' buat pengurusan Sang Kenari — Bekas pemain Kedah

"Penyokong Terengganu sepatutnya malu bila kalah sebab Kedah ada isu tunggakan gaji, pemain pun bukan taraf bintang.

"Syafiq Ahmad jela yang ada sorang pun, Terengganu ada Akhyar, Safawi, Safwan Mazlan dan Manuel Ott yang main skuad kebangsaan.

"Kedah main 10 orang je sebab Milos sekadar bagi pelengkap 11 pemain atas padang," kata Afiq Rowey di laman Facebook pada Jumaat.

Dalam pada itu, penjaga gol Ifwat Akmal turut diangkat sebagai wira dalam perlawanan tersebut ekoran kecemerlangannya menepis beberapa percubaan bahaya lawan.

Sering dikecam ekoran fizikalnya yang dikatakan tidak sesuai di pintu gol, Ifwat berjaya menunjukkan bahawa tanggapan itu salah.

"Pakai penyerang import dua orang, seorang tu siap salam Messi tapi dengan Ifwat pun tak lepas.

"Kedah ni jangan kata menang, mau seri pun seronok sangat dah kami tak kira la permainan tak lawa ke apa.

"Janji mau dok ada atas padang dan tak kalah pun besar rahmat dah buat kami," ujarnya.

Terdahulu, jualan tiket perlawanan antara Kedah dan Terengganu yang pada mulanya tidak mendapat sambutan, akhirnya bertukar apabila lautan penyokong Hijau Kuning masih memenuhi Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Sabtu.

Ketua pasukan Sang Kenari, Sony Norde memberi sinar buat bola sepak pasukannya apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-36 permainan.

Jaringan itu kekal hingga ke wisel penamat dan Kedah memperoleh tiga mata penuh di depan penonton sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram