TIDAK dinafikan bahawa ramai penyanyi kelahiran Sabah semakin mendapat tempat dalam industri hiburan tanah air kebelakangan ini.
Suara lunak yang dianggap anugerah semula jadi dalam bidang nyanyian, menyaksikan dunia hiburan negara tidak pernah sunyi daripada bakat yang lahir dari negeri terbabit.
Sesetengah pihak mula melabel Negeri di Bawah Bayu itu sebagai 'kilang' menghasilkan nama-nama besar dalam industri seperti Azharina Azhar, Stacy, Ayu Damit dan ramai lagi yang bukan sahaja berbakat dalam nyanyian, malah turut berpotensi terjun bidang lakonan.
BACA LAGI: [VIDEO] Didi rimas dicop tiru Bella Astillah, sedar ramai tak suka tinggalkan dunia pramugari
Menganggap ia sebagai satu kebanggaan dan anugerah kurniaan Tuhan, penyanyi Wani Kayrie, 24, berbangga kerana memiliki darah keturunan Sabah yang disifatkan sangat istimewa kerana dibarisi ramai penyanyi tersohor negara.
"Saya bangga jadi orang Sabah sebab ini merupakan bakat dan anugerah kepada kami yang digelar Sumandak ini untuk terus berkarya dalam bidang nyanyian.
"Alhamdulillah kami diterima di Semenanjung dan itu membuatkan kami rasa bila ada peluang untuk mengangkat penyanyi Sabah di sini, ia sangat istimewa.
"Kami di sini untuk bekerja tapi lama-kelamaan mula dikenali ramai dan syukur sangat dapat teruskan karier baik di Sabah mahupun Semenanjung," katanya kepada Majoriti pada sidang media konsert ‘A Night With Sumandak Stars’ di Temu Hotel, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam pada itu, penyanyi terkenal dengan lagu Jangan Jangan itu meluahkan rasa terharu apabila diberikan peluang berkongsi pentas bersama penyanyi terkenal pada konsert tersebut.
Wani Kayrie (kiri) bakal berkongsi pentas bersama beberapa penyanyi hebat kelahiran Sabah.
Merupakan penyanyi termuda dalam kalangan penyanyi lain, Wani teruja kerana digandingkan dengan nama-nama hebat dalam industri negara.
"Saya rasa terharu apabila dijemput pihak penganjur dan kak Bella (Bella Astillah) yang percaya dengan bakat saya.
"Saya teruja sebab digandingkan dengan penyanyi hebat yang saya tengok sejak dari kecil, ya ALLAH seronoknya kalau dapat berjumpa menyanyi bersama.
"Orang kata ia ibarat mimpi jadi kenyataan la buat saya, sangat gembira dan tak sabar nak konsert nanti," katanya.
Konsert tersebut dijadualkan berlangsung pada 30 November 2024, bermula pukul 8 malam di Zepp, Kuala Lumpur.
Menggabungkan tujuh penyanyi popular negara berasal dari Sabah, Bella Astillah, Marsha Milan, Adira Suhaimi, Stacy Anam, Nikky Palikat, Wani Kayrie dan Didi Astillah antara barisan artis yang bakal menghiburkan penonton kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram