Bukan lagi pelakon 'Deadpool', wajah baharu 'Green Lantern' hasil sentuhan 4 sutradara tersohor


  • Hiburan
  • Isnin, 14 Okt 2024

DC Studios mengumumkan siri adiwira Green Lantern bakal membuat kemunculan tidak lama lagi.

FILEM sains fiksyen bertemakan adiwira Hollywood sememangnya diminati ramai penonton dari serata dunia.

Paling popular pastinya francais filem Marvel yang mencetuskan fenomena menerusi adiwira seperti Iron Man, Spiderman, Thor dan Black Panther yang cukup diminati bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak, malah kumpulan dewasa turut fanatik dengan watak berkenaan.

Pun begitu, syarikat produksi terkemuka Amerika Syarikat (AS) itu dijangka bakal diberikan saingan sengit daripada sebuah lagi syarikat hiburan iaitu DC Studios yang juga memiliki pelbagai variasi pilihan adiwira yang diadaptasi daripada komik.

BACA LAGI: Bukan lagi Rihanna, Taylor Swift kini pemuzik terkaya di muka bumi

BACA LAGI: Pengarah Malaysia, Adele Lim terus tempa nama di Hollywood, bakal arah Princess Diaries 3

DC Studios yang merupakan anak syarikat Warner Bros Discovery, bakal menerbitkan sebuah siri adiwira bertajuk Green Lantern tidak lama lagi.

Merupakan sekuel kedua daripada versi asalnya pada 2011, kemunculan siri kedua itu disahkan bakal ditayangkan bermula Jun 2025 di saluran HBO.

Lebih menarik, dua pelakon watak utama siri berkenaan telah pun diumumkan dengan Aaron Pierre dan Kyle Chandler dipilih membintangi sekuel tersebut.

resize_2

Aaron Pierre melakonkan watak sebagai John Steward.

Aaron Pierre secara rasmi bakal menyertai keluarga DC Studios apabila memegang watak utama sebagai John Steward dalam filem berkenaan.

Merupakan pelakon terkenal yang berjaya mencipta nama di Netflix menerusi filem Rebel Ridge, ia berjaya menduduki carta 10 terbaik bagi filem Bahasa Inggeris sejak September lalu.

Meskipun lebih dikenali dengan watak hero aksi dan drama romantis, Green Lantern bakal mengubah karakter pelakon kelahiran United Kingdom, England itu untuk melebarkan sayap kariernya di dunia fantasi adiwira.

Sementara itu, Kyle Chandler bakal memikul tugas besar apabila diberikan kepercayaan membawakan watak Hal Jordan yang sebelum ini dilakonkan Ryan Reynolds pada 2011.

KYLE

Kyle Chandler menggantikan Ryan Reynolds sebagai Hal Jordan.

Walaupun usianya sudah menginjak ke angka 59, ia tidak menghalang pelakon berpengaruh AS itu untuk diserap masuk ke dalam francais adiwira terbitan DC Studios.

Zaman kegemilangannya memuncak sekitar 2006 hingga 2011 yang menyaksikan Kyle tercalon dalam beberapa pencalonan anugerah dan dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Cemerlang Drama Siri pada Anugerah Primetime Emmy (2011).

Kini, namanya kembali meniti di bibir peminat yang tidak sabar untuk menyaksikan penampilannya dengan sut serba hijau sebagai Hal Jordan dalam filem Green Lantern.

Gandingan kedua-dua pelakon itu dijangka mampu mencetuskan fenomena baharu buat filem adiwira fiksyen berkenaan sekali gus, memberi tentangan pada pesaing rapatnya, Marvel yang ketika ini dalam pembikinan fasa keempat sirinya.

Green Lantern bakal dihasilkan bersama oleh empat pengarah terkemuka iaitu Chris Mundy, Damon Lindelof, dan Tom King dan James Hawes. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram