'Muka saya jahat, berparut', CEO Batu teringin berlakon watak antagonis


  • Hiburan
  • Khamis, 10 Okt 2024

Mohd Iqbal atau lebih dikenali sebagai CEO Batu memasang impian untuk menceburi bidang lakonan.

PEMPENGARUH media sosial, Mohd Iqbal atau lebih dikenali sebagai CEO Batu memasang impian untuk menjadi pelakon antagonis tanah air jika diberikan peluang.

Jelasnya, wajahnya yang sering kali disalah erti sebagai seorang yang bengis dan pemarah, mencetuskan idea dan minatnya untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan.

BACA LAGI: Lagu hampir 10 juta views di YouTube, imej botak Tantari bukan kerana Achey, sebaliknya angkara Azizulhasni Awang

BACA LAGI: Dari Shah Alam ke Jepun, imej celoreng biru jadi saksi 'screamer' seni rock, pop mosh Patriots

"Muka saya nampak bengis dan garang, tapi sebenarnya saya seorang yang kelakar, kalau yang kenal rapat tahu la saya macam mana.

"Lebih-lebih lagi bila ada kesan parut dekat muka ni, memang semua orang pandang saya macam penjahat tapi saya tak kecil hati pun.

"Teringin juga nak berlakon watak antagonis, tengok macam mana boleh pergi ke tidak, muka dan identiti itu dah ada cuma bakat kena asah la," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, CEO Batu yang juga aktif dalam dunia permotoran banyak menjalankan aktiviti menunggang menjelajah ke serata tanah air.

Dalam pada aktiviti jelajah dijalankan, pempengaruh di TikTok itu juga banyak mempromosikan beberapa produk tempatan bagi membantu golongan bumiputera yang menjalankan perniagaan.

Ketika ditanya tentang sasarannya dalam dunia permotoran, anak jati Alor Setar, Kedah itu mahu menjelajah ke serata negara termasuk Sabah dan Sarawak bagi berkongsi rezeki dan bantu perniagaan orang ramai.

"Saya nak jelajah ke beberapa lagi negeri, seronok tengok tempat orang ni, selain tambah ilmu saya pun boleh kongsi rezeki dengan mereka.

"Contoh kalau berhenti mana-mana gerai makan sedap saya akan kongsikan di TikTok, maka perniagaan dia pun InshaALLAH bertambah maju, dengan harapan pengikut saya semua pergi ke sana.

"Memang hobi saya suka menunggang motosikal, ramai kenal saya dengan nama CEO Batu dan video lawak tapi sedikit sebanyak ia membantu orang ramai," ujarnya.

Terdahulu, pempengaruh itu dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di susur keluar Sungai Petani, Kedah pada Julai lalu.

Dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani akibat kecederaan di tangan, patah gigi hadapan dan menerima lebih 20 jahitan di kepala. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram