PENYANYI veteran tersohor Amerika Syarikat (AS), Cissy Houston dilaporkan meninggal dunia pada usia 91 tahun di kediamannya pada Isnin.
Perkara itu disahkan keluarganya yang menjelaskan bahawa mendiang ibu kepada Whitney Houston tersebut meninggal akibat Alzheimer selepas beberapa tahun melawan penyakit itu.
Dilahirkan pada 30 September 1933 di Newark, New Jersey, AS, anak bongsu daripada lapan beradik itu memulakan karier nyanyiannya pada 1938 apabila membentuk sebuah kumpulan muzik bersama adik-beradiknya yang digelar The Drinkard Four.
BACA LAGI: Pengarah Malaysia, Adele Lim terus tempa nama di Hollywood, bakal arah Princess Diaries 3
BACA LAGI: Asia setanding Hollywood, Jet Li tolak tawaran filem The Matrix, enggan seni kung fu ditiru Barat
Kehadirannya dalam industri muzik AS semakin berkembang maju apabila menjadi vokalis kepada sebuah kumpulan muzik suara latar, The Sweet Inspirations yang banyak bekerjasama dengan artis ternama ketika itu.
Houston turut berpengalaman menjadi salah seorang penyanyi latar kepada bintang terkemuka seperti Elvis Presley, Solomon Burke dan Wilson Pickett.
The Sweet Inspirations turut memiliki album mereka sendiri dan pada 1969, Houston ditawarkan untuk merakamkan album solo pertamanya selain turut menjadi penyanyi latar dalam lagu The Divine Miss M. (1972) nyanyian Bette Midler dan Heart Like a Wheel (1975), Linda Ronstadt.
Turut menerima penghargaan di peringkat tertinggi, Houston merupakan satu-satunya penyanyi latar dan gereja yang berjaya memperoleh dua gelaran anugerah Grammy menerusi albumnya, Face to Face (1996) dan He Leadeth Me (1998).
Namun, anaknya yang juga merupakan seorang penyanyi, Whitney Houston terlebih dahulu meninggal dunia pada 2012.
Memegang reputasi sebagai anak kepada legenda industri muzik AS, Whitney meninggal pada usia 48 tahun selepas ditemui lemas dalam tab bilik mandinya.
“Hati kami dipenuhi dengan kesakitan dan kesedihan.
“Cissy telah menjadi tokoh yang sangat hebat dan sangat dihormati dalam keluarga kami. Dia juga seorang wanita yang mempunyai keyakinan yang sangat tinggi dan mengambil berat tentang keluarga.
"Kerjayanya selama lebih tujuh dekad dalam muzik dan hiburan akan kekal di persada dunia serta tiada tandingannya," kata salah seorang ahli keluarganya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram