[VIDEO] Bela ikan laga 'tak kosong', lepaskan di tempat pembiakan jentik-jentik cara cegah wabak denggi


  • Massa
  • Isnin, 02 Sep 2024

Memelihara atau melepaskan ikan laga di dalam tempat pembiakan jentik-jentik antara langkah mudah mengelakkan jangkitan denggi di rumah. — Gambar hiasan

DEMAM denggi sememangnya bukan penyakit atau wabak baharu muncul di Malaysia.

Ia adalah sejenis penyakit jangkitan virus boleh merebak melalui gigitan nyamuk Aedes Aegypti yang telah dijangkiti.

Kes pertama penyakit diklasifikasikan sebagai endemik itu dikesan di negara ini pada 1901 di Pulau Pinang.

BACA LAGI: 'Thailand boleh buat, kenapa Malaysia tidak?', pasang lagu kebangsaan di tempat awam setiap hari cara terap semangat patriotik

BACA LAGI: Johor rekod penduduk paling ramai aktif bersenam, program JB CFM boleh jadi ikutan negeri lain

WhatsApp Image 2024-09-01 at 11.02.15

Kes demam denggi kini direkodkan semakin meningkat di Malaysia. Sempang panjang Gambar hiasan/Agensi

Sejak dari itu, kes demam denggi menunjukkan trend peningkatan berterusan bermula 2000 sehingga sekarang.

Terbaharu, kes penyakit tersebut juga mencatatkan sedikit peningkatan pada Minggu Epidemiologi ke-33 (ME33).

Sebanyak 2,294 bagi tempoh 11 Ogos hingga 17 Ogos berbanding 2,278 kes pada minggu sebelumnya, dengan tiga kematian akibat komplikasi dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan pada 24 Ogos lalu memberitahu bahawa kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME33 adalah sebanyak 92,827 kes berbanding 75,928 bagi tempoh sama pada 2023.

Perkara paling membimbangkan apabila menyentuh tentang penyakit itu adalah pesakit hanya bergantung pada antibodi untuk melawan virus denggi dalam tempoh masa agak panjang.

Individu yang dijangkiti denggi juga memerlukan pengambilan air secukupnya bagi memastikan badan tidak terhidrasi.

Jangkitan denggi pada masa sama boleh merebak di kawasan-kawasan lembap sekali gus menjadi lokasi pembiakan nyamuk Aedes.

Seperti yang dimaklumkan oleh Pensyarah dan Pakar Kecemasan Jabatan Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Mohd Hisham Mohd Isa, tapak pembinaan dan pembuangan sampah yang tidak diselenggara antara majoriti lokasi pembiakan nyamuk itu.

Bukan itu sahaja, kawasan sekitar perumahan seperti longkang, pasu bunga, kolah mandi, tempayan, botol, tin dan balkoni juga boleh menjadi antara lokasi pembiakan nyamuk.

Justeru, pelbagai inisiatif dilakukan pelbagai pihak bagi menangani serta mengurangkan jumlah kes demam denggi di Malaysia.

Selain melaksanakan semburan kabus racun pembunuh nyamuk Aedes (fogging) secara berkala atau pendedahan tentang menjaga kebersihan kawasan setempat, terdapat langkah yang lebih inovatif boleh dilakukan dalam kalangan masyarakat.

Cara itu adalah dengan melepaskan beberapa jenis ikan seperti ikan gupi, sepat atau laga ke dalam sarang larva nyamuk atau jentik-jentik.

Sama seperti di Indonesia yang turut mengamalkan cara tersebut bagi mengawal pembiakan jentik-jentik di rumah.

Berdasarkan laporan CNN Indonesia pada 2019, Pengarah Pencegahan dan Pengendalian Tular Vektor dan Zoonotik mendapati keupayaan ikan laga atau dikenali sebagai ikan cupang di negara itu lebih efektif menjadi pemusnah semula jadi jentik-jentik berbanding ikan gupi.

Siapa sangka ikan laga yang mempunyai corak dan warna menawan juga mampu dijadikan sebagai medium menghapuskan jentik-jentik.

WhatsApp Image 2024-09-01 at 11.03.28

Ikan laga dikatakan mempunyai kemampuan untuk menghapuskan jentik-jentik dalam jumlah yang banyak selama enam jam. — Gambar hiasan

Menjadikan jentik-jentik sebagai makanannya secara tidak langsung memberi banyak khasiat kepada ikan laga.

Ia akan membuatkan ikan lebih cantik, aktif, sihat dan meransang pembentukan telur bagi ikan betina.

Walaupun kedua-dua ikan itu mempunyai sedikit persamaan daripada segi corak dan warnanya tetapi fizikal, saiz dan kemampuan yang berbeza.

Selain dijual dengan harga yang murah dan sesuai diletakkan di dalam rumah, ikan cupang boleh makan sebanyak 89 ekor jentik dalam tempoh enam jam.

Manakala, ikan gupi hanya boleh makan sebanyak 47 ekor dalam tempoh yang sama.

Langkah tersebut secara tidak sedar sebenarnya pernah dilakukan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan pertubuhan sukarela MPSP Watch pada 2014.

Beribu-ribu anak ikan gupi dilepaskan ke dalam parit di Taman Kota Permai, Padang Lalang, Pulau Pinang untuk memusnahkan pembiakan jentik-jentik.

Kaedah yang dipanggil sebagai perang biologi terhadap nyamuk Aedes dan wabak denggi menggunakan ikan itu dilihat lebih berkesan serta mesra habitat sungai berbanding menggunakan racun pemusnah.

WhatsApp Image 2024-09-01 at 11.04.31

Malaysia pernah menggunakan kaedah biologi iaitu melepaskan ikan gupu ke dalam parit di Pulau Pinang pada 2014. — Gambar hiasan

Ikan gupi yang diletakkan itu juga akan memakan jentik-jentik serta tidak menggugat ekologi hidupan lain.

Lebih istimewanya apabila cara itu amat mudah untuk dilakukan dan dicuba oleh sesiapa sahaja di rumah masing-masing.

Justeru, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang pada ketika itu menyarankan agar langkah menyahpusatkan kawalan wabak denggi kepada Kerajaan Negeri perlu dipertimbangkan.

Beliau berkata, laporan kajian sama di Cambodia turut mendapati, 40 peratus bekas air di rumah-rumah mempunyai jentik-jentik sebelum kaedah perang biologi menggunakan ikan gupi diperkenalkan.

Meskipun kaedah itu masih belum dapat mencipta rekod penurunan kes demam denggi setakat ini, tetapi ia boleh dipraktikkan lebih meluas dan secara konsisten bagi melihat kesan yang efektif.

Langkah tersebut berkemungkinan dapat menurunkan separuh daripada jumlah kes terkini atau mengurangkan pembiakan jentik-jentik sebanyak 30 peratus di kawasan kediaman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram