PELAKON dan seniwati terkemuka negara, Fauziah Ahmad Daud membidas kenyataan seorang pelakon meningkat naik negara yang sebelum ini didakwa memperkecilkan taraf dan nilai anugerah negara berbanding Oscar.
Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy itu berkata, seseorang pelakon itu perlu menimba sebanyak mungkin pengalaman sebelum meraih sebarang gelaran anugerah.
“Berapa banyak filem dah kau berlakon? Apa yang saya lihat terlalu banyak sangat yang perlu dia pelajari.
BACA LAGI: 'I have prayed before you are born', Fazura titip ucapan hari jadi ke-4 Fatima
BACA LAGI: Peminat Masdo sporting habis! Lebih 10,000 meriahkan Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire di Nilai
“Saya melihat dari segi acuan, bagaimana dia melontarkan dialog, mendalami watak dan menyampaikan mesej lakonan.
“Kalau saya kata lebih-lebih pun dia tak akan faham, banyak kerja dik, dia kena ingat artis luar negara Leonardo DiCaprio pun ambil masa berpuluh tahun untuk dapatkan Oscar, jadi kena belajar,” katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, beberapa elemen dan ilmu perlu dikuasai pelakon generasi kini yang menurutnya, sangat sukar untuk difahami bakat-bakat baharu.
Tidak memperkecilkan impian dan cita-cita besar pelakon lelaki itu, namun Ogy berharap agar individu berkenaan lebih berhati-hati dalam pertuturan dan mendalami ilmu lakonan secara serius sebelum menyasarkan Oscar atau sebagainya.
"Mempunyai impian itu bagus, tapi kalau kamu betul berbakat tunjukkan ia jangan hanya berkata-kata, ia tak akan ke mana.
"Saya dah menonton lakonannya, banyak sangat perlu diperbaiki dik, pelakon sekarang ramai yang hanya melontar dialog tetapi tidak memasuki watak dan melafazkan.
"Banyak lagi yang perlu dipelajari, jadi selongkar lebih lagi untuk sampai ke tahap tertinggi, kerja keras lagi dan buktikan kami semua salah dan awak boleh genggam trofi Oscar," ujarnya.
Pelakon filem Ali Setan itu ditemui ketika sidang media pementasan teater Di Sebalik Topeng di Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada Rabu.
Ogy Ahmad Daud (tengah) pada sidang media pementasan teater Di Sebalik Topeng di Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.
Mengetengahkan isu kesihatan mental dalam naskhah arahan Zainorhisyam Samudin itu, Ogy bakal membawakan watak sebagai seorang pesakit mental yang bergelut dan terperangkap dalam konflik emosi yang rumit.
Selain Ogy, beberapa pelakon lain turut terlibat dalam teater tersebut seperti Rayden Ahmad, Luqman Muqri, Leesha MK, Nor Azila, Gibran Agi dan Ard Omar.
Pementasan teater itu bakal berlangsung selama dua hari iaitu pada 19 dan 20 Oktober di Auditorium DBP, Kuala Lumpur.
Terdahulu, pelakon meningkat naik Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam, 23, menyimpan impian untuk menggenggam trofi Oscar yang disifatkan sebagai anugerah antarabangsa yang berprestij.
Tidak pernah mengharapkan sebarang penganugerahan, namun Meerqeen hanya menyasarkan trofi Oscar yang dianggap lebih bernilai dan dihormati di peringkat antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram