Terhidu gas ammonia, 3 kerani SK Likas sesak nafas dikejarkan ke hospital


  • 112
  • Rabu, 11 Sep 2024

SK Likas, Kota Kinabalu dikatakan mengalami kebocoran gas ammonia. — Gambar hiasan

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Likas, Kota Kinabalu, Sabah gempar apabila tiga kerani dikejarkan ke hospital selepas mengalami kesukaran bernafas dan muntah dipercayai akibat terhidu gas ammonia.

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, kejadian pukul 1.30 tengah hari Selasa itu hanya melibatkan tiga kerani wanita di SK Likas, sambil menambah tiada guru dan murid dilaporkan mengalami gejala serupa.

Jelasnya, dua daripada kerani itu menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (QEH1), Kota Kinabalu manakala seorang lagi di QEH2.

BACA LAGI: [VIDEO] Terhidu gas sisa kimia antara 4 kes ancam nyawa pelajar sekolah di Malaysia

BACA LAGI: JAS bongkar sebab air bertukar biru di Sungai Aur, Klang

“Kebocoran dipercayai gas ammonia dilaporkan berlaku di pejabat am sekolah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

“Hanya tiga kerani di pejabat terbabit dihantar ke hospital selepas mereka difahamkan mengalami kesukaran bernafas dan muntah. Mereka bagaimanapun dilaporkan dalam keadaan stabil," tambah Raisin.

Beliau berkata, pihak sekolah mendapatkan bantuan daripada Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bagi memantau keadaan di sekolah berkenaan.

Pasukan HAZMAT, katanya, bagaimanapun mendapati bacaan udara di tempat kejadian adalah normal.

"Pasukan itu tidak menemui sebarang penemuan kebocoran kimia," katanya.

Raisin berkata, pasukan HAZMAT telah mengesahkan kualiti udara di SK Likas adalah selamat dan terkawal tetapi mereka mengarahkan supaya bilik pejabat itu dibiarkan terbuka semalaman.

Katanya, kejadian itu tidak menjejaskan sesi pengajaran dengan pihak sekolah berkenaan diarah untuk memastikan tahap keselamatan murid, guru dan tenaga kerja lain terjamin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram