SATU ketika dahulu, kota raya Kuala Lumpur sememangnya popular dalam kalangan remaja meluangkan masa berhibur di hujung minggu ataupun di musim perayaan.
Bagaikan syurga membeli belah, ibu bapa mahupun golongan muda pastinya tidak melepaskan peluang berkunjung ke beberapa lokasi terkemuka ibu negara yang disifatkan serba lengkap dari segi keperluan seharian ketika itu.
Malah, ada di antaranya menjadikan destinasi itu sebagai tempat berjanji temu dengan kekasih hati ekoran pelbagai fasiliti serta restoran terkenal yang menjadi trend satu ketika dahulu.
BACA LAGI: SIAR: Sebelum jadi 'CEO Megah Holding', Mustapha Kamal pernah bergelar 'rockstar'
Silih tahun berganti, pemoden negara yang semakin membangun pesat mula menampakkan perubahan apabila pusat-pusat komersial yang dahulunya terkenal, semakin mundur dan tidak dipelihara pihak berkaitan.
Majoriti membawa pembaca mengimbau kembali beberapa lokasi tumpuan 'hot' satu ketika dahulu yang kini semakin dilupakan, namun sarat dengan memori indah.
1. Pasar raya Hankyu Jaya, Chow Kit, Kuala Lumpur
Cukup gah dalam kalangan pengunjung era 1960-an, pasar raya Hankyu Jaya di Chow Kit merupakan lubuk barangan kulit dan berjenama.
Malah, ia juga merupakan destinasi hiburan individu berkeluarga yang gemar membawa anak-anak bersiar di hujung minggu dengan deretan premis restoran di situ cukup menggamit memori sehingga ke hari ini.
Peminat filem tanah air pastinya cukup sinonim dengan salah satu babak Faizal Hussein dalam filem Gila-Gila Remaja pada 1985 yang dilihat berada di pasar raya berkenaan.
Kini, segalanya hanya tinggal kenangan dengan bangunan tersebut dikatakan telah terjual dan dijadikan sebagai hotel bajet.
Turut terkesan dengan perubahan itu, individu di era tersebut juga menganggap Hankyu Jaya sebagai punca rezeki kerana pernah bekerja di pasar raya berkenaan.
2. Taman Rimba Ampang, Bukit Belacan
Selain daripada pusat beli-belah, landskap hijau negara turut mengalami perubahan dengan beberapa lokasi air terjun yang dahulunya meriah, ini bertukar menjadi hutan terbiar.
Taman Rimba Ampang, Bukit Belacan, Ampang, Selangor merupakan antara lokasi terkesan dengan destinasi percutian dan rekreasi itu gagal dipelihara dengan baik walaupun cukup terkenal satu ketika dahulu.
Kemeriahan Taman Rimba Ampang sebagai pusat tumpuan terbukti apabila turut dijadikan set penggambaran filem Kembar Siam 1989 yang jelas memaparkan ia sebagai antara destinasi pelancongan menarik negara sebelum ini.
Kini, lokasi tersebut semakin dilupakan dan segelintir masyarakat menganggap ia sebagai tempat jin 'bertandang' susulan tempatnya yang sunyi dan jauh daripada hiruk-pikuk bandar.
Lebih menyedihkan, premis warung makan dibuka berhampiran kawasan itu juga dikatakan gagal mengembalikan keriuhan Taman Rimba Ampang ekoran ketiadaan pengunjung ke situ.
3. Pasar Seni, Kuala Lumpur
Pasar Seni atau lebih dikenali sebagai Central Market (CM) dahulunya sering menjadi pusat tumpuan warga kota melakukan aktiviti hujung minggu, baik untuk melepak atau menjadi titik pertemuan kerana kedudukannya yang strategik, terletak berhampiran Stesen Bas Klang dan stesen LRT.
Merupakan tempat himpunan barangan kraf tangan dan cenderahati seperti batik, produk ukiran serta potret, pasangan bercinta pastinya tidak terlepas merakamkan memori bahagia di Pasar Seni satu ketika dahulu.
Kemeriahan Pasar Seni di era 1990-an sempat dirakamkan dalam filem Mat Gelap (1990) arahan Zarul Albakri yang disifatkan sebagai zaman kegemilangan CM yang penuh dengan aktiviti kraf tangan.
Namun, kini Pasar Seni yang asalnya Pasar Besar Kuala Lumpur sebelum dinaik taraf pada 1985, tidak lagi 'seceria' dulu apabila semakin dikuasai pendatang asing.
Meskipun masih menjadi pusat tumpuan masyarakat moden masa kini, namun imej Pasar Seni yang dahulunya sangat popular sedikit tercalar dengan lambakan gelandangan dan warga asing yang bertempiaran di kaki lima kawasan berhampiran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram