Bekas pembantu PM Anwar, Yusoff Rawther direman dakwaan miliki dadah dan senjata api


Muhammed Yusoff Rawther direman pada Jumaat lalu didakwa memiliki senjata api dan dadah. — The Star

BEKAS pembantu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther direman atas dakwaan memiliki senjata api dan dadah.

Peguamnya, Rafique Rashid Ali berkata, polis menahan reman Muhammed Yusoff kira-kira pukul 9.30 pagi pada Jumaat lalu.

"Dua pistol dan dadah disyaki ganja seberat 305 gram ditemui dalam kereta yang dipandu anak guam saya.

"Dia telah direman sejak 6 September," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA LAGI: Dana RM700 juta: SPRM akan panggil bekas PM, pembantu dalam tempoh terdekat

BACA LAGI: [VIDEO] SPRM tampil jawab dakwaan Daim, maklum sudah beri 5 kali lanjutan isytihar harta

Rafique berkata, Yusoff ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, selepas permohonan reman awal di bawah undang-undang senjata api ditolak.

"Yusoff menjelaskan kepada penyiasat bahawa pistol dan dadah itu bukan miliknya dan dia tidak mempunyai kaitan dengan barang tersebut.

"Keputusan ujian air kencing juga didapati negatif dadah," katanya.

yusuff-rawther-dan-anwar-ibrahim-768x480-1

Muhammed Yusoff Rawther merupakan bekas pembantu Anwar Ibrahim.

Tambahnya, Yusoff telah menyatakan dalam rakaman percakapan bahawa pistol dan dadah tersebut diletakkan dalam keretanya sebagai perangkap oleh pihak yang didakwa mempunyai dendam atau bermusuh dengannya.

"Mereka yang dimaksudkan oleh Yusoff telah pun dibekalkan nama serta kaitan penama-penama tersebut dengan pimpinan politik negara.

"Polis turut didesak oleh Yusoff dan peguamnya untuk dibenar membuat laporan polis mengenai perkara terbabit dengan dokumen berkaitan telah pun diutus.

"Keperluan untuk membuat laporan polis adalah penting supaya pembelaan Yusoff dapat diteruskan secepat mungkin dan tidak dilabel sebagai rekaan," tambahnya.

Terdahulu, pada 14 Julai 2021, Muhammed Yusoff memfailkan saman mendakwa beliau telah diserang Presiden Parti Keadlian Rakyat (PKR) itu secara seksual pada Oktober 2018, beberapa hari sebelum Anwar memenangi Pilihan Raya Kecil di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Yusoff telah menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan, serta faedah, kos dan relif lain.

Anwar, dalam kenyataan pembelaannya yang difailkan pada 28 September 2021, mendakwa Yusoff telah berbohong secara bersumpah kepada pihak berkuasa berhubung serangan seksual tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram