[VIDEO] Tak kisah jadi ‘selfish mother’, ibu Ambi elak beri gajet bantu tingkat kemahiran sosial


  • Massa
  • Isnin, 02 Sep 2024

Sheena (kanan) sentiasa memberi dorongan terhadap minat dan hobi Ambi (kiri).

SETIAP ibu bapa pasti mempunyai cara tersendiri dalam mendidik anak menjadi individu bermoral dan berguna sepanjang hayat.

Namun, perbezaan cara didikan itu sama sekali tidak dapat dinafikan boleh memberi impak berlainan kepada anak terutamanya apabila ia melibatkan kemahiran sosial.

Melihat dunia sekarang yang semakin canggih, penggunaan teknologi terkini seperti peranti mudah alih, gajet menjadi medium utama untuk membantu ibu bapa menjaga dan mendidik anak.

BACA LAGI: Ambi derma lagi hasil ' jualan manik', bukti anak KL ini pejuang sebenar pesakit kanser

BACA LAGI: Fokus misi perniagaan kebajikan, kanak-kanak 11 tahun sumbang jualan manik kepada pesakit kanser muda

Berbeza pula dengan ibu kepada seorang penderma paling muda di Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Thanashree Ambikai Lal, 11, yang tidak diajar untuk meluangkan masa dengan gajet.

Gajet bukan hiburan untuk anak

Ibunya, Sheena Lal, 48, mendedahkan bahawa tidak pernah membiarkan anak perempuannya bermain peranti itu untuk mengisi masa lapang.

Sheena berkata, amalan itu dilakukan terhadap anak tunggalnya sejak lahir sehingga sekarang.

"Memang saya tak galakkan anak untuk kerap bermain telefon bimbit, media sosial sejak dari dia lahir lagi.

"Ia disebabkan saya ambil keputusan untuk jaga dia sendiri di rumah hingga usianya dua tahun sebelum serahkan kepada ibu saya untuk tolong jaga.

"Saya pun bekerja jadi, aturan masa untuk hantarnya ke rumah ibu saya adalah waktu ketika dia tidur iaitu pada tengah hari dan kemudiannya baru saya sambung semula kerja," katanya kepada Majoriti.

Sheena yang juga menguruskan sebuah akademi miliknya di Kuala Lumpur khusus untuk pembelajaran awal kanak-kanak berkata, minat anaknya menghasilkan perhiasan daripada manik bermula daripadanya.

@ambibeadery EVIL EYE EDITION #evileye #blue #ambibeadery #thanashreeambikailal #beads #bracelet #necklace #charity #bazaar #custombracelets #youngentrepreneur #cancersociety #talent ♬ Falling Angel - HCTM

Ideanya itu mula tercetus apabila rakyat Malaysia mengikuti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika wabak Covid-19 melanda.

Kongsinya, Sheena mula memikirkan cara untuk Ambi tidak bosan atau meragam pada masa sama memanfaatkan masa panjang yang ada itu di rumah.

"Disebabkan kita ada banyak sangat masa di rumah, saya belikan pelbagai jenis manik warna-warni dan suruh dia bermain dan hasilkan apa sahaja mengikut cita rasanya.

"Saya juga kerap beli lagi banyak apabila tengok reaksi positifnya sebab dia makin suka dan gembira bermain dengan manik sejak umur tiga tahun," katanya.

WhatsApp Image 2024-09-01 at 17.06.26

Ambi (tiga dari kanan) menyumbangkan dana di NCSM sebanyak dua kali pada 2023 dan Ogos 2024.

Selfish mother

Menurutnya lagi, sikap Ambi yang gemar melakukan aktiviti kebajikan dengan hasil jualan maniknya merupakan satu proses pembelajaran selain mengikuti kelas di sekolah.

Katanya, perbuatan itu juga secara tidak langsung didorong oleh faktor didikannya sebagai ibu yang mementingkan diri sendiri atau selfish mother.

"Apa yang dia buat sekarang ini adalah pembelajaran juga bukan semata-mata hobi kosong.

"Sebagai ibu, saya pun faham dia perlu ada masa untuk fokus pembelajaran sekolah, ulang kaji dan sebagainya.

"Tetapi, apa yang saya tekankan adalah untuk melatih Ambi untuk bergaul dengan masyarakat.

"Melatih dia sejak usia 10 tahun itu pula tidak mudah kerana masih kecil dan perlu bimbingan secara berterusan," ujarnya.

WhatsApp Image 2024-09-01 at 17.09.36

Sheena (kanan) sangat teliti dalam menjaga dan mendidik anaknya sejak lahir sehingga sekarang.

Sheena berkata, latihan yang kerap dilakukan kepada Ambi adalah tentang cara bagaimana untuk berkomunikasi dan memberi penjelasan berhubung sumbangan yang dilakukan kepada orang awam.

Baginya, ia memerlukan proses panjang serta tempoh masa yang lama untuk mendidik anaknya sehingga boleh menyesuaikan diri sendiri di hadapan khalayak ramai.

Justeru, Sheena menjelaskan bahawa perkataan selfish mother itu memberi maksud pendirian dan ketegasannya memberi pendedahan awal kepada Ambi.

"Permulaan awal Ambi mahu beri sumbangan, saya keluarkan wang modal sebanyak RM650 untuk berbelanja beli barang manik.

"Tapi, saya anggap ia sebagai yuran tuisyen bagi dia belajar menggunakan platform secara realiti iaitu pergi menjual dan untungnya pula diasingkan separuh ke dana, manakala bakinya sebagai modal balik," jelasnya.

WhatsApp Image 2024-09-01 at 17.07.58

Sheena (kiri) melihat pelaburan yang dilakukan kepada Ambi (kanan) bukan perkara sia-sia.

Sheena juga berkata, kesanggupannya untuk lebih mementingkan anaknya daripada perkara lain pasti dijamin akan membuahkan hasil bukan untuk dirinya sahaja tetapi kepada Ambi serta masyarakat lain.

Dia dalam pada itu mengambil peluang memberi saranan kepada ibu bapa lain agar melatih anak meneroka kelebihan diri, minat atau hobi sebelum mereka memasuki usia lapan tahun.

Ujarnya, sekurang-kurangnya kanak-kanak seusia itu sudah mengenal pasti keistimewaan yang ada pada diri untuk dimanfaatkan ke arah kebaikan.

"Tidak kisah ibu atau bapa yang nampak anak ada kelebihan hasilkan seni, sukan atau apa sahaja perlu saling bantu-membantu serta beri peluang atau masa buat mereka," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram