Masuk hutan buat Kazumi Trail, Bukit Dinding jadi sumber inspirasi kekuatan Siew Choo pulih kanser limfoma


Bukit Dinding yang memiliki ketinggian setinggi 291 meter melalui Kazumi Trail akan menguji kesabaran pendaki. — Media sosial

SUKAR untuk mempercayai bahawa sebahagian daripada Kazumi Trail di Bukit Dinding, destinasi mendaki popular yang terletak berhampiran Wangsa Maju, dicipta sendirian oleh seorang wanita tempatan yang menghidap kanser.

Pejalan kaki yang melalui laluan itu sering merujuknya sebagai 'trek penyesalan' atau 'trek roller coaster', sebagai bukti sifat alam semula jadi yang mencabar.

Mendaki Bukit Dinding setinggi 291 meter melalui Kazumi Trail sangatlah menguji ketahanan seseorang kerana ia licin dan memerlukan kekuatan tangan untuk berpaut pada tali ketika sepanjang pendakian.

BACA LAGI: Tonton filem Titanic pukul 2 pagi cetus hobi cipta kapal ikonik hanya berbekal kotak ubat gigi

BACA LAGI: Dulu jiran kini suami isteri, pencinta motosikal retro sanggup 'ride' hingga ke Kemboja

photo_6208357535853952481_y

Kazumi Trail di Bukit Dinding adalah destinasi mendaki popular yang terletak berhampiran Wangsa Maju. — Media sosial

Oleh sebab itulah, Kazumi Trail tidak sepopular laluan bertar yang menuju ke puncak bukit.

Cabaran menjejaki denai itu sebenarnya melambangkan perjuangan Ong Siew Choo, dalam melawan penyakitnya.

Siew Choo, 47, yang dikenali dengan panggilan mesra Kazumi, disahkan menghidap limfoma tahap 2 (sejenis kanser darah) kira-kira lapan tahun lalu.

"Saya kecewa dan hilang semangat untuk hidup," kata ibu kepada dua anak itu.

Menurutnya, dia menjalani kemoterapi sebanyak lapan kali dan radioterapi 25 kali.

Siew Choo mengakui dia hampir kehilangan semangat untuk hidup, namun dia pada akhirnya sedar akan sikap negatifnya dan bertekad untuk tidak mudah berputus asa.

Dia memutuskan untuk mencabar dirinya dengan melibatkan diri dalam aktiviti fizikal yang jarang dilakukannya sebelum itu.

Pada ketika itu, sudah pun tahun 2020 dan wabak Covid-19 melanda.

“Saya memilih untuk mendaki hutan di Bukit Dinding kerana saya tinggal berdekatan di Wangsa Maju dan boleh berjalan ke sana,” katanya, sambil menambah bahawa walaupun perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa ketika itu, aktiviti rekreasi masih dibenarkan.

Menurut Siew Choo, dia berazam untuk melawan kanser dengan mendekati alam semula jadi sebagai alternatif merawat penyakitnya di samping mengambil ubat-ubatan.

Dia berkata, dia cuba memasuki kawasan hutan di Bukit Dinding melalui denai yang terletak berhampiran rumahnya.

Lama kelamaan, dia mendapati tiada denai di hutan tersebut.

"Bahagian hutan itu belum diterokai oleh mana-mana pejalan kaki," katanya.

Berazam untuk menyiapkan denai itu, Siew Choo membawa bersama cangkul, pisau, gergaji kecil, dan tali untuk mencipta laluan mendaki bukit.

“Ketika itu, saya memasuki hutan seawal jam 7 pagi secara bersendirian. Perlahan-lahan, saya membersihkan laluan untuk membuat denai.

"Di sesetengah tempat, saya memasang tali kerana cerun yang curam, dan secara beransur-ansur, ia bertukar menjadi denai sepanjang satu meter yang selamat untuk pejalan kaki,” katanya.

Siew Choo mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk menyiapkan Kazumi Trail.

“Sepanjang proses itu, saya tidak memaksa diri. Ada masanya saya akan duduk berehat, menikmati kicauan burung dan bunyi air terjun, serta melihat telatah monyet.

"Detik-detik ini membolehkan saya mengosongkan fikiran dan mencari kenyamanan," katanya.

Pendekatannya yang rapat dengan alam semula jadi secara tidak dijangka membawa berita gembira apabila dia diisytiharkan bebas kanser pada Disember 2021 dan tidak perlu lagi mengambil ubat.

“Saya bersyukur kerana pulih sepenuhnya.

"Mungkin kerana saya sering memasuki hutan Bukit Dinding.

"Saya banyak berhutang dengan alam semula jadi dan kini, saya memberi tumpuan untuk membantu pejalan kaki lain berhubung dengan hutan Bukit Dinding,” katanya.

Presiden Persatuan Rakan Bukit Dinding, Adrihazim Rashid, berkata, pasukannya menyokong usaha Siew Choo mencipta laluan tersebut, sambil menambah bahawa mereka turut membantu menambah baik laluan itu termasuk dengan memasang papan tanda. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram