Tak sedar diminati rakan serumah, apa perlu buat elak dilaknat ALLAH?


  • Mukmin
  • Rabu, 21 Ogos 2024

Perbuatan yang negatif seperti hubungan kelamin di luar tabi'i antara sesama jenis adalah dilarang dalam Islam. — Gambar hiasan/The New York Times

PERNAHKAH anda berdepan dengan situasi tinggal bersama rakan yang mempunyai kecenderungan suka sesama jenis (homoseksual)? Mungkin semasa tinggal di asrama atau di rumah sewa?

Tanpa kita sedar, mungkin ada antara rakan kita sendiri yang tinggal bersama mempunyai perasaan terhadap sesama jantina.

Jadi bagaimana cara bagi berdepan dengan situasi itu dan apakah pandangan Islam bagi situasi sebegitu?

BACA LAGI: Lafaz talak ketika isteri suci, ramai lupa 5 adab cerai ikut ajaran Islam

BACA LAGI: 'Patutnya 'settle' tepi bukan cerai depan orang ramai ketika TikTok live'

611484

Mohamad Shukri berpandangan mereka yang terjebak atau berdepan dengan situasi rakan homoseksual itu adalah penting untuk mengikuti panduan agama dan menjaga adab serta batasan yang telah ditetapkan. — Gambar fail

Dalam pandangan syarak, jelas dinyatakan bahawa hubungan cinta atau perhubungan antara sesama jenis adalah haram.

Islam mengajarkan bahawa hubungan seksual hanya sah dalam perkahwinan antara seorang lelaki dan wanita.

Namun, apa yang jelas hubungan seksual antara sesama jenis adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip syarak.

Sehubungan itu, adalah penting untuk memahami hukum berkenaan bergantung kepada tafsiran dan ajaran yang dipegang oleh pelbagai mazhab dan ulama.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad memperjelas dalam hal itu, tidak ada larangan untuk lelaki sesama lelaki atau perempuan sesama perempuan tinggal serumah, kerana mereka adalah dari jantina yang sama dan tiada halangan dalam perkara tersebut.

"Namun, perbuatan yang negatif seperti hubungan kelamin di luar tabi'i antara sesama jenis adalah dilarang dalam Islam.

"Jika individu sesama jantina ada terbit rasa senang atau suka dengan rakan serumah mereka, tetapi mereka tidaklah sampai melakukan perbuatan terlarang, itu tiada masalah," katanya kepada Majoriti.

Namun kata beliau, jika mereka melakukan hubungan seksual di luar tabi'i, ia adalah haram dan dilaknat oleh Islam.

"Perbuatan yang membawa kepada haram adalah haram," jelasnya.

Senario hubungan kelamin antara sesama jenis adalah perbuatan yang dilarang agama telah digambarkan dalam kisah umat Nabi Lut dalam kitab suci al-Quran.

Terdapat peringatan jelas daripada ALLAH dalam al-Quran surah al-A'raf ayat 80-84:

ولُوطا إِذ قال لِقومِهِ أتأتُون الفاحِشة ما سبقكُم بِها مِن أحدٍ مِن العالمِين ﴿٨٠﴾ إِنكُم لتأتُون الرِجال شهوة مِن دُونِ النِساءِ ۚ بل أنتُم قوم مُسرِفُون ﴿٨١﴾ وما كان جواب قومِهِ إِلا أن قالُوا أخرِجُوهُم مِن قريتِكُم ۖ إِنهُم أُناس يتطهرُون ﴿٨٢﴾ فأنجيناهُ وأهلهُ إِلا امرأتهُ كانت مِن الغابِرِين ﴿٨٣﴾ وأمطرنا عليهِم مطرا ۖ فانظُر كيف كان عاقِبةُ المُجرِمِين

Maksudnya: Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?

"Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas".

Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: "Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) menyucikan diri".

Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan.

Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan."

rainbow-rubber-wristbands-in-wrists-of-asian-boy-couple-with-blurred-background-concept-for-celebration-of-lgbt-community-in-pride-month-or-in-june-around-the-world-free-photo

Perhubungan antara sesama jenis adalah tidak dibenarkan dalam Islam. — Vecteezy

Jaga aurat

Dalam pada itu, Mohamad Shukri mengulas lanjut berkenaan penjagaan aurat bagi situasi mereka yang berdepan dengan rakan serumah yang terjebak dengan homoseksual itu.

Mohamad Shukri berkata, bagi lelaki sama lelaki yang tinggal serumah, batas aurat adalah antara pusat dan lutut.

"Tetapi dikhuatiri misalnya orang Arab di zaman dahulu tidak boleh melihat lelaki-lelaki muda yang cantik-cantik (tampan).

"Maka ketika itu ada hukumnya bagi lelaki yang cantik-cantik ini hendaklah menjaga auratnya itu supaya tidak menimbulkan keghairahan kepada orang yang memandangnya padahal yang normalnya bukan begitu.

"Namun, jika ada kemungkinan menimbulkan fitnah atau keinginan nafsu, individu tersebut perlu menjaga auratnya dengan lebih berhati-hati," katanya.

Beliau juga berpandangan bahawa mereka yang terjebak atau berdepan dengan situasi rakan homoseksual itu adalah penting untuk mereka mengikuti panduan agama dan menjaga adab serta batasan yang telah ditetapkan.

Tambahnya, Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam tentang bahaya apabila amalan yang dilarang itu dilakukan secara terbuka dan dibangga-banggakan kerana ia boleh mengundang bala bencana seperti penyakit.

"Satu langkah yang wajar diambil bagi menangani masalah sosial ini adalah dengan mempertingkatkan usaha dakwah untuk mendidik masyarakat mengenai ajaran Islam yang sebenar," katanya.

Beliau menekankan, pendakwah perlu terus menyampaikan mesej Islam melalui semua saluran media untuk memastikan ajaran agama Islam sampai kepada mereka yang memerlukannya.

"Keberkesanan dakwah itu adalah penting dalam menangani perkembangan yang tidak sesuai dengan ajaran Islam dan menjaga keselamatan masyarakat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram