TIDAK dinafikan, pada zaman serba moden ini, motosikal retro berkuasa tinggi masih popular dalam kalangan komunitinya.
Buktinya, setiap kali kelibat penunggang motosikal retro di atas jalan raya, pastinya individu yang berada di sekeliling akan menoleh bagi melihat keunikan sesuatu bentuk rekaan motosikal berkenaan.
Motosikal retro merujuk kepada motosikal yang direka dengan gaya yang menyerupai motosikal klasik bermula tahun 1950-an hingga 1980-an.
BACA LAGI: 'Kalau pandai, saya pun guna', Imuda anggap teknologi AI tak jatuhkan martabat seni pelukis
BACA LAGI: The Wayang Robot, inovasi 3D beri nafas baharu wayang kulit tradisional
Norliza membawa Yamaha Virago 1100 manakala suami pula tunggang motosikal The Yamaha Virago XV1100.
Seorang wanita, Norliza Ramli mengakui sudah memiliki minat yang mendalam terhadap dunia permotoran sejak berada di zaman persekolahan.
"Waktu sekolah dahulu selalu tengok orang lumba motosikal di Shah Alam, Selangor," katanya kepada Majoriti.
Bagaimanapun, anak jati Shah Alam itu mulai terlibat dalam motosikal retro setelah mendirikan rumah tangga bersama jirannya, Mohd Azhari Mohd Said yang juga pencinta motosikal berkuasa tinggi.
Pada awalnya, Norliza hanya sering menjadi pembonceng kepada suaminya untuk ke konvoi motosikal retro bersama rakan-rakan yang lain.
Setelah memiliki keberanian, Norliza kini berani untuk membawa motosikal sendiri untuk mengikuti konvoi di merata tempat.
"Dalam Semenanjung semua tempat sudah pernah pergi," katanya.
Tidak hanya itu, Norliza juga pernah menunggang motosikal kira-kira sejauh 2,000 kilometer iaitu daripada Shah Alam ke Kemboja dengan merentasi Thailand.
"Waktu itu saya pergi untuk acara Ride to Cambodia pada 2016. Semasa itu konvoi dalam 25 motosikal retro.
"Saya tunggang motosikal Yamaha Virago 1100, suami pula tunggang motosikal The Yamaha Virago XV1100.
"Kita gerak dari Shah Alam. Semalaman di Hatyai. Malam kedua di Prachuap Port.
"Malam ketiga di Nakhon Ratchasima. Malam keempat baru masuk Angkor Wat, Kemboja," katanya.
Norliza dan suaminya, Mohd Azhari sudah pernah menunggang motosikal di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia.
Norliza berkata, antara sebab dia sering merantau menggunakan motosikal adalah untuk merasai kepelbagaian budaya di merata tempat.
"Setiap tempat berbeza-beza. Kita dapat kenal budaya negara luar macam mana, di negeri itu ini.
"Dapat eratkan silaturahim apabila pergi menunggung motosikal beramai-ramai," katanya.
Gathering motosikal Retromania sering konvoi bersama-sama.
Norliza juga merupakan salah satu Ahli Jawatankuasa (AJK) bagi gathering motosikal terhebat iaitu Retromania.
Retromania merupakan program yang menjadi tempat berkumpulnya peminat barangan retro di serata negara seperti Singapura, Malaysia dan Indonesia.
"Dalam setahun memang akan buat program Retromania untuk bersua muka sesama kelompok motosikal retro di pelusuk negara.
"Ada yang daripada Melaka, ada juga daripada Singapura datang ke Malaysia dengan menunggang motosikal retro masing-masing," katanya.
Norliza berkata, kelompok Retromania terdiri daripada pelbagai usia bermula 17 tahun sehingga 70-an.
"Kadang ada budak ikut minat ibu bapa mereka dalam dunia permotoran. Umur 70-an juga ada kerana memang mereka minat reka bentuk motosikal retro yang berbeza berbanding zaman kini.
Bertanya soal cabaran dalam penjagaan motosikal tercintanya, Norliza berkata, antara kesusahan yang dialami adalah untuk mencari barangan motosikal klasik.
"Sebab barangan dalaman motosikal itu sekarang banyak dah tiada. Banyak motosikal moden sahaja yang masih ada.
"Jadi susah untuk diperoleh. Biasanya saya akan beli dalam aplikasi atas talian, Ebay," katanya.
Bahkan, harga untuk membaiki motosikal retro kadangkala mencecah ribuan ringgit.
"Untuk tukar enjin sahaja dalam lebih kurang lima ribu.
"Contoh macam kita nak beli enjin. Saya akan beli dalam aplikasi atas talian, Ebay untuk satu biji enjin dieksportkan ke Malaysia," katana.
Bagaimanapun, dia memiliki rasa sayang yang mendalam untuk menjaga motosikal berkenaan memandangkan ia merupakan hadiah daripada peninggalan arwah bapa mentuanya.
"Bapa mentua akak beri suami akak untuk pakai. Jadinya apabila suami akak beli motosikal lain, dia beri akak pakai sampai sekarang.
"Motosikal dah ada kita guna sahaja la. Cumanya kena jaga lebihlah," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram