'Hiduplah kalian dengan semangat Mansor Puteh'


  • Hiburan
  • Ahad, 07 Jul 2024

Allahyarham Mansor (kanan) pernah mengarahkan filem berjudul Seman pada 1988, selain menghasilkan dokumentari 48 minit mengenai Tunku Abdul Rahman bertajuk Residency Years.

PENGARAH dan pengkritik filem negara, Mansor Puteh, 71, meninggal dunia pada Ahad selepas dilaporkan terlibat dalam satu nahas jalan raya di Alam Damai, Cheras, di Kuala Lumpur, kira-kira pukul 10 pagi Ahad.

Berita duka pemergian Allahyarham itu dikongsikan anak saudara Allahyarham yang juga bekas wartawan hiburan, Adeed Adilah menerusi hantaran di Facebook.

"Salam semua, bagi yang mengenali pak cik saya Mansor Puteh, beliau telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi," ujarnya dalam hantaran tersebut.

BACA LAGI: Mansor Puteh parah di kepala, maut kereta terbabas sendiri langgar pembahagi jalan di Alam Damai

BACA LAGI: Rumah tidak lagi sesuai tinggal bersama famili, kami perlu teruskan hidup — anak Allahyarham biduanita Sharifah Aini

Adeed memberitahu jenazah Allahyarham ketika ini sedang berada di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HUKM) Cheras untuk proses bedah siasat.

Jenazah dijangka dibawa ke Melaka untuk dikebumikan pada petang Ahad.

Dalam pada itu, kenalan termasuk rakan seni tanah air turut mula melahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham pada Ahad.

"Satu lagi kehilangan buat warga Seni. Al-Fatihah," tulis pengarah, Al Jafree Md Yusop di hantaran Facebooknya.

"Perginya sahabat rapat dalam industri filem hari ini. Al-Fatihah," kongsi Syed BenYahya.

"Kita doakan semoga rohnya dicucurkan rahmat oleh ALLAH, Arwah penderma darah lebih 500 kali. Penerima darah Mansor Puteh, hiduplah kalian dengan semangat Mansor Puteh. Al-Fatihah," tulis Timbalan Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia Sandakiah Azez.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kereta jenis Proton Iswara yang dipandu mangsa terbabas sendiri di Jalan Alam Damai.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa memandu dari arah Taman Len Seng menghala Ke Taman Alam Damai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri dan melanggar pembahagi jalan.

"Akibat kemalangan tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong perubatan," katanya dalam kenyataan.

WhatsApp Image 2024-07-07 at 15.33.01

Keadaan kereta Allahyarham Mansor yang terlibat kemalangan di Alam Damai.

Mendapat pendidikan awal dalam bidang komunikasi massa dari Institut Teknologi Mara (ITM), Allahyarham Mansor pernah menjadi wartawan sebelum melanjutkan pengajian dalam jurusan Master of Fine Arts in Film Directing, Universiti Columbia pada 1978.

Allahyarham turut pernah mengarahkan filem berjudul Seman pada 1988, selain menghasilkan dokumentari 48 minit mengenai Tunku Abdul Rahman bertajuk Residency Years.

Pada masa sama, Allahyarham juga pernah dikenali dengan amalannya yang suka menderma darah dan pernah menerima sijil pengiktirafan atas sumbangannya menderma darah sebanyak 500 kali pada 2018.

Pada 2021, dilaporkan Allahyarham Mansor merupakan rakyat kedua terbanyak menderma darah dalam negara dan beliau terus konsisten menderma darah meskipun selepas usiannya mencecah lebih 60 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram