
BANGKAI harimau Malaya seberat 120 kilogram yang maut dipercayai dirempuh sebuah kereta di Kilometer (KM) 314, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Tapah, Perak akan dibawa ke Institut Biodiversiti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Bukit Rengit, Pahang untuk diawet.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, buat masa ini, bangkai haiwan itu masih disimpan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Negara (NWRC) di Sungkai.
BACA LAGI: 'Hiduplah kalian dengan semangat Mansor Puteh'
“Pengawetan bangkai ini hanya boleh dilakukan di Institut Biodiversiti kerana ia mempunyai kepakaran khusus untuk menjadikannya sebagai pameran taksidermi.
“Kebiasaannya proses pengawetan ini akan mengambil masa yang agak lama kerana ia perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan spesimen yang diawet kekal cantik dan tidak rosak dalam tempoh yang lama,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Pada Sabtu, bangkai harimau itu dilaporkan ditemui di dalam longkang dekat tepi lebuh raya itu kira-kira pukul 5.45 pagi selepas dirempuh sebuah kereta jenis Nissan Juke.
Bangkai harimau yang ditemui terapung di sungai di Kuala Krai, Kelantan pada bulan lalu. — Facebook
Pada 9 November tahun lepas, kejadian serupa berlaku membabitkan seekor harimau jantan, yang maut selepas dirempuh sebuah treler di KM 303.4 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Gua Tempurung, Gopeng.
Yusoff berkata, kesan luka dan calar ditemui di sebelah kiri bangkai harimau itu selepas proses pengecaman dijalankan.
“Luka dan calar pada badan harimau itu mungkin berpunca daripada perangkap yang dipasang pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan kepada Perhilitan sekiranya mempunyai bukti atau maklumat berhubung sebarang kejadian membabitkan haiwan liar di negeri ini.
Kejadian berlaku pada Sabtu itu menjadikan sebanyak tiga kes kematian melibatkan kematian Harimau Malaya di Semenanjung pada tahun ini.
Pada Jun lalu, Perhilitan Kelantan mengesahkan menerima laporan bangkai harimau yang ditemui terapung di sungai di Kuala Krai, Kelantan.
Pada 16 Mei lalu, seekor lagi harimau dewasa ditemui mati di tepi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Lentang di Bentong, Pahang dipercayai digilis kenderaan.
Kajian Survei Populasi Harimau Kebangsaan (1st NTS) oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia dari 2016 hingga 2020 mendapati populasi harimau Malaya di kawasan berhutan dianggarkan kurang 150 ekor.
Jumlah yang itu dikategorikan sebagai sangat terancam oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN). — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram