Mati dilanggar kereta di Tapah, Harimau Malaya ke-3 maut tahun ini


  • Primer
  • Sabtu, 06 Jul 2024

Bangkai harimau itu ditemui di dalam longkang di tepi lebuh raya terbabit.

SEEKOR harimau Malaya ditemui mati selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer (KM) 314 di laluan arah utara Lebuhraya Utara-Selatan di Tapah, Perak pada Sabtu.

Kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 5.45 pagi menyebabkan bahagian hadapan kenderaan dipandu seorang lelaki mengalami kerosakan.

Bangkai harimau itu ditemui di dalam longkang di tepi lebuh raya terbabit.

BACA LAGI: Kemasukan matrikulasi: Penekanan berlebihan terhadap meritokrasi berpotensi tingkat jurang sosioekonomi

BACA LAGI: Aktivis politik kena panggil polis dan MCMC, Tian Chua kritik kebebasan bersuara makin terancam sekarang

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu ketika dihubungi.

“Harimau Malaya jantan itu dianggarkan berumur empat tahun dan seberat 120kg.

“Bangkai berkenaan akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Perkembangan itu menyaksikan ia sebagai harimau belang ketiga yang ditemui mati di dalam negara pada tahun ini.

449661675_824856853074231_2934950152778133543_n

Bangkai harimau yang ditemui terapung di sungai di Kuala Krai, Kelantan pada bulan lalu. — Facebook

Pada Jun lalu, Perhilitan Kelantan mengesahkan menerima laporan bangkai harimau yang ditemui terapung di sungai di Kuala Krai, Kelantan.

Pada 16 Mei lalu, seekor lagi harimau dewasa ditemui mati di tepi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Lentang di Bentong, Pahang dipercayai digilis kenderaan.

Kajian Survei Populasi Harimau Kebangsaan (1st NTS) oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia dari 2016 hingga 2020 mendapati populasi harimau Malaya di kawasan berhutan dianggarkan kurang 150 ekor.

Jumlah yang itu dikategorikan sebagai sangat terancam oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN). — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram