MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek tampil memberi jaminan menyelesaikan isu berhubung penempatan matrikulasi bagi pelajar cemerlang SPM yang mendapat 10A dan ke atas.
Dalam satu kenyataan, Fadhlina berkata, beliau maklum mengenai kes pelajar cemerlang 10A SPM yang membuat permohonan namun belum mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian.
"Jangan risau, tiada pelajar cemerlang yang akan tercicir. Beri sedikit masa dan saya berjanji penempatan pelajar cemerlang yang belum mendapat tempat akan dapat diselesaikan.
"Pada waktu ini KPM (Kementerian Pendidikan) bersama Kementerian Pendidikan Tinggi telah mengorak langkah dan mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan peluang untuk melanjutkan pengajian diberi kepada semua pelajar cemerlang SPM," katanya menerusi hantaran di Facebook ada Sabtu.
Pada 30 Jun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan semua pelajar yang mendapat 10A dalam SPM akan diterima masuk ke matrikulasi tanpa mengira kaum.
Bagaimanapun, terdapat pihak termasuk pemimpin politik melaporkan beberapa kes keciciran untuk kemasukan program berkenaan melibatkan pelajar cemerlang selepas keputusan rayuan ke pusat pengajian itu diumumkan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Fadhlina menyifatkan langkah terbaharu diumumkan Anwar sebagai langkah berani dalam memastikan tiada pelajar cemerlang ketinggalan, di samping menjaga hak pelajar bumiputera.
“Iltizam kerajaan Madani untuk memastikan hak bumiputera terus dipertahankan juga terbukti menerusi pengekalan kuota bumiputera sedia ada bagi program matrikulasi KPM,” katanya.
Pada Mei lalu, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan mendedahkan 11,713 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2023 memperoleh keputusan cemerlang dengan gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Pada 2019, kerajaan mengumumkan program matrikulasi mampu menampung 40,000 pelajar, berbanding 25,000 pada tahun sebelumnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram