Rumah tidak lagi sesuai tinggal bersama famili, kami perlu teruskan hidup — anak Allahyarham biduanita Sharifah Aini


  • Hiburan
  • Jumaat, 05 Jul 2024

Aliff Omar (kiri) menjual rumah Allahyarham Datuk Sharifah Aini di Lorong Utara, Petaling Jaya, Selangor. — Suria FM

KEPUTUSAN untuk menjual rumah Allahyarham Datuk Sharifah Aini di Lorong Utara, Petaling Jaya, Selangor adalah untuk meneruskan tuntutan kehidupan, kata anak kandung biduanita negara itu.

Memetik laporan Suria FM, anak Allahyarham, Aliff Omar Ali, 42, menjelaskan bahawa sebagai pewaris, beliau perlu memikul amanah serta tanggungjawab dengan sebaik mungkin dalam menguruskan segala harta peninggalan ibunya mengikut syariat Islam.

Aliff berkata, sememangnya rumah itu miliki banyak kenangan indah namun tidak lagi bersesuaian untuk tinggal bersama anak dan isterinya.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Niat kita ALLAH yang tahu', Raffi Ahmad jelaskan cuma mahu abadi kenangan selepas dikutuk buat haji demi konten

BACA LAGI: Banglo dirobohkan, pemaju tidak tahu milik Allahyarham biduanita Sharifah Aini

WhatsApp Image 2024-07-05 at 11.26.41 AM

Gambar ruangan dalam rumah Syarifah Aini.

“Saya juga sangat sayangkan rumah kami itu. Saya sendiri dibesarkan di rumah itu tapi selepas pemergian Mummy (panggilan untuk Sharifah Aini) saya merasakan rumah itu tidak bersesuaian lagi untuk saya tinggal bersama isteri dan anak-anak.

“Terus-terang, kos penyelenggaran rumah itu memang tinggi setiap bulan, mencecah ribuan ringgit dan perkara ini telah berlarutan selama 10 tahun selepas Mummy kembali ke rahmatullah.

“Jadi mulai 2016, saya telah meminta khidmat ejen hartanah untuk menjual rumah kami itu. Memang sejak itu ada beberapa pihak yang berminat membelinya dan datang berbincang dengan saya namun semuanya tidak berhasil.

“Akhirnya pada awal tahun ini, rumah kami itu telah dibeli oleh syarikat pemaju Al-Ambia Sdn Bhd dan terserahlah kepada mereka untuk membangunkannya mengikut kehendak mereka,” kata Aliff dalam pertemuan eksklusif dengan Suria FM di Subang Jaya pada Rabu lepas.

Aliff yang juga bekas pelajar Islamic University of Madinah, Arab Saudi menjelaskan, beliau telah menguruskan segala pengagihan harta ibunya itu mengikut hukum faraid.

“Selain saya, arwah nenek (Allahyarham Sharifah Noor Syed Ahmad) juga adalah waris terdekat kerana ketika Mummy meninggal dunia, nenek masih lagi hidup. Jadi bahagian nenek itu sekarang pergi kepada waris terdekat nenek di Singapura.

“Sebenarnya bagi saya, apa yang lebih penting sekarang adalah kewajipan saya untuk menguruskan harta peninggalan Mummy itu dengan sebaik mungkin, termasuk melangsaikan apa-apa hutang yang berbaki kerana itu tanggungjawab kita sebagai anak. Setiap keluarga Muslim juga akan melalui perkara yang sama.

“Jadi tidak mengapalah, lebih afdal saya menjual rumah kami itu kerana hasilnya dapat mengalir ke jalan yang baik dan pihak yang berhak selain mampu menyelamatkan rumah itu sendiri daripada rosak atau terbiar di masa depan,” ujar Aliff yang enggan menyatakan berapakah nilai sebenar jualan tanah dan rumah agam tersebut.

“Tapi harga jualannya bukan RM4 juta sebagai mana dilaporkan, sebaliknya kurang daripada nilai itu. Bagi saya, jumlah itu tidaklah penting untuk diperhebohkan kerana apa yang lebih penting saya bersyukur proses penjualannya telah pun berjalan lancar,” kata suami kepada seorang doktor gigi, Nur Athirah Syed Azmi, 38, itu.

WhatsApp Image 2024-07-05 at 11.27.01 AM

Rumah Syarifah Aini sudah dirobohkan. — Facebook

Tiada tawaran jadikan galeri, muzium

Sejak tersebarnya berita rumah Datuk Sharifah Aini telah dirobohkan, timbul pula pelbagai spekulasi termasuk pandangan netizen yang merasakan sayang sekali rumah berkenaan yang mempunyai lapan bilik tidur, tujuh bilik air, tiga ruang tamu serta dua ruang dapur itu dijual serta dilupuskan.

Hakikatnya, netizen mahupun peminat penyanyi Seri Dewi Malam itu tidak berada di tempat Aliff sendiri dan mengetahui pelbagai cabaran yang ditempuhinya sejak 10 tahun lalu bagi menguruskan kediaman tersebut termasuk kelengkapannya dengan sempurna.

“Ramai berkata, kenapa rumah ini tidak dijadikan muzium dan dipelihara sedangkan realitinya, tidak pernah pun mana-mana wakil kerajaan atau pihak muzium menghubungi saya untuk berbincang mengenai sebarang perancangan ke arah itu.

“Sukar bagi saya untuk tunggu 10 tahun lagi kerana tempoh 10 tahun yang sudah berlalu itu terlalu lama dirasakan. Bagaimanapun saya masih menyimpan banyak koleksi barang-barang peribadi Mummy termasuk anugerah-anugerah yang diterimanya di satu premis lain andai kata ada pihak masih mahu menempatkannya di galeri atau muzium.

“Banyak juga perabot dan barang peribadi Mummy sudah dibeli oleh beberapa sahabat baik Mummy selain peminat-peminat tegar,” kata Aliff yang memaklumkan dua pembantu rumah mereka yang amat setia, Bibik dan Mus telah pulang menetap di tempat asal mereka di Sumatera serta Jawa sejak 2021.

Di sebalik pelbagai spekulasi yang terbit selama ini berkaitan ibunya, Aliff ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat dunia seni yang sering mendoakan kesejahteraan arwah ketika hayatnya dulu mahupun sampai ke detik ini.

“Cuma saya sedih dan terkilan melihat banyak laporan yang tidak tepat mengenai penjualan rumah ini dan hal berkaitan Mummy oleh pihak yang tidak bertanggungjawab hingga mengundang komen keterlaluan di pihak netizen. Tapi saya faham siapalah kita untuk menghalang manusia lain untuk bercakap dan kenalah banyak bersabar,” katanya bernada agak sayu.

WhatsApp Image 2024-07-05 at 11.27.42 AM

Banglo milik Syarifah Aini sebelum dirobohkan. — Facebook

Apapun pada saat ini, Aliff sering merindui arwah ibunya dan selalu terkenang segala momen indah ketika masih dalam dakapan manja ibunya itu hinggalah dia dewasa.

“Ya, saya sangat rindukan Mummy dan ingatan itu semakin kuat setiap hari. Antara yang saya rindu adalah jeritan suaranya yang nyaring di dalam rumah memanggil nama saya dan juga gelak tawanya.

“Saya juga rindukan masakan dari air tangan Mummy seperti Laksa Johor, Sweet Sour Fish serta Leg of Lamb,” kata Aliff sambil melontarkan senyuman.

Disoal apakah pula lagu ibunya yang paling diminati, Aliff terus menjawab: “Dodoi Si Dodoi...”

Bagi Aliff, lagu itu adalah gurindam kasih seorang bonda kepada anak-anak mereka yang didendangkan dengan begitu indah sekali oleh ibunya ketika dia masih kecil lagi.

Mungkin ramai tidak tahu, sejak bertatih lagi, Sharifah Aini hanya memanggil Aliff dengan nama manjanya iaitu ‘Nyawa’ dan ‘Abang’ (abang kepada dua lagi anak angkat Sharifah Aini).

Ternyata di mata sahabat-sahabat karib pun, Sharifah Aini cukup terkenal sebagai seorang yang cukup penyayang dan beliau memiliki ramai anak anak angkat lain termasuk di kalangan anak-anak yatim serta pelajar tahfiz.

Genap sedekad pemergian beliau pada 5 Julai tahun ini, pelbagai kenangan kembali terimbas. Biarlah budi serta jasa Sharifah Aini terus menjadi wangian sebutan masyarakat dan semoga ALLAH SWT melimpahkan rahmat-Nya ke atas roh beliau di taman syurga. — Suria FM/ROSLEN FADZIL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram