Bermula lukis doodle, Puteri Nur Alya kreatif hasilkan mural 3D, raih pengiktirafan MBOR


  • Hobi
  • Ahad, 16 Jun 2024

Puteri Nur Alya Qaisarah menghasilkan mural di dinding bangunan sekolahnya iaitu SMK Seksyen 24 (2) Shah Alam, Selangor.

SEORANG gadis kecil molek hebat mengembangkan bakat dalam bidang seni lukis mural apabila karya di dinding bangunan sekolahnya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 24 (2) Shah Alam, Selangor memperoleh pengiktirafan baru-baru ini.

Pelajar tersebut, Puteri Nur Alya Qaisarah Abdul Rahman menghasilkan lukisan mural itu selama sembilan hari berturut-turut.

Usahanya ternyata tidak sia-sia apabila gadis berusia 16 tahun itu berjaya memperoleh hadiah utama Anugerah QuickBites 2024 ‘Minda Sihat, Cergas Fizikal' yang tersenarai dalam The Malaysia Book of Records (MBOR).

BACA LAGI: Bantu pelajar atasi stres melalui lukisan, karya seni mural QuickBites terima pengiktirafan MBOR

BACA LAGI: [VIDEO] Terpaksa berhenti sekolah demi sara famili, lelaki tidak malu jadi pemungut sampah di usia muda

photo1718373529

Puteri (kiri) bersama Sharvin memenangi Anugerah QuickBites 2024 ‘Minda Sihat, Cergas Fizikal'.

Puteri Nur Alya Qaisarah yang mesra disapa Puteri berkata, dia mengikuti pertandingan tersebut sewaktu disarankan oleh gurunya untuk mencuba nasib memasuki Program Minda Sihat, Cergas Fizikal Bersama QuickBites 2024.

Bersaing dengan 130,000 peserta lain tidak mudah kerana Puteri mengakui dia tidak cukup rehat sehingga demam susulan mahu menghasilkan karya terbaik.

"Nak menangis apabila dapat tahu menang. Sebab saya dah pulun sehabis baik sampai demam kerana melukis sembilan hari berturut-turut. Tak cukup rehat sewaktu itu," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-06-13 at 7.31.22 PM

Mural yang dilukis oleh Puteri dan Sharvin dalam masa sembilan hari.

Menceritakan mengenai karya mural yang dihasilkan, Puteri menjelaskan bahawa dia memfokuskan lakaran roti pada hari pertama sehingga hari ketujuh.

"Tugas saya untuk buat mural roti manakala rakan saya, Sharvin membuat lukisan figura," katanya.

Manakala, pada hari ketujuh sampai kesembilan, mereka memfokuskan untuk menambah idea yang boleh mencantikkan lagi karya mural yang dibuat.

"Penambahan idea itu macam ada percikan warna, efek three dimensional (3D) dan juga sebagainya bersesuaian dengan tema yang dihasilkan," katanya.

Tidak memerlukan kos yang tinggi, Puteri hanya menggunakan peralatan seperti berus kecil dan juga cat.

"Saya guna warna merah, biru, kuning, hijau, magenta (ungu kemerahan), coklat, hitam dan putih.

"Warna-warna ini saya dengan Sharvin akan campurkan untuk hasilkan warna lain seperti warna-warna kulit dan shadows," katanya.

WhatsApp Image 2024-06-13 at 8.28.38 PM

Warga sekolah SMK Seksyen 24 (2) Shah Alam bergambar bersama mural yang telah siap dihasilkan.

Puteri turut bersyukur tidak menghadapi sebarang masalah sewaktu menghasilkan mural di dinding sekolahnya.

"Kalau lukisan tidak jadi kami akan betulkan guna warna asal dinding mural iaitu putih dan buat lorekan baharu," katanya.

Menceritakan permulaan berjinak-jinak dalam bidang lukisan, Puteri berkata, ayahnya sering menggalakkan dia menghasilkan lukisan berbentuk doodle sejak berumur empat tahun.

"Waktu itu ayah beri buku, jadi saya buat lukisan doodle," katanya.

Bukan kali pertama memenangi pertandingan, Puteri juga pernah memenangi pertandingan E-Poster Majlis Bandaraya Shah Alam.

"Waktu itu saya juga menang tempat pertama, saya rasa ada bakat dalam seni lukisan sebegini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram